Syukur tidak lama menunggu

Syukur tidak lama menunggu

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 15 Mei – Penerima anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong berbesar hati dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana tidak perlu lama menunggu untuk mendapatkan rumah sendiri.

Salah seorang penerima, Mohd Yus Iskandar Shah bin Abdullah Tigur yang menerima rumah teres, berpuas hati kerana tidak perlu menungu lama untuk mendapatkan rumah sendiri walaupun beliau masih bujang.

Begitu juga dengan penerima, Awang Eloy bin Saidi yang sebelum ini memohon perumahan di Daerah Brunei dan Muara. Memandangkan pemohonan orang ramai di daerah tersebut masih lagi menunggu sehingga berbelasan tahun, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah dan memohon perumahan di Daerah Tutong tahun lepas dan selepas 8 atau 9 bulan, beliau tidak menyangka menerima rumah teres.

Mohd Yus Iskandar Shah (kiri) dan Awang Eloy (kanan) masing-masing menerima rumah teres.
Mohd Yus Iskandar Shah (kiri) dan Awang Eloy (kanan) masing-masing menerima rumah teres.
Hajah Suriani bersyukur kerana mempunyai rumah sendiri.
Hajah Suriani bersyukur kerana mempunyai rumah sendiri.

Sementara seorang wanita berbangsa Cina, Dayang Teo Ying Ling amat gembira dan tidak menyangka beliau menerima rumah teres memandangkan beliau masih lagi bujang dan bekerja di salah sebuah syarikat swasta di Gadong. Beliau cuba membuat permohonan lima tahun lalu kerana ingin tinggal berdekatan keluarganya.

Manakala Hajah Suriani binti Haji Mohd Shuaini, penerima rumah kembar, memanjatkan rasa syukur kerana kini sudah mempunyai rumah sendiri. Begitu juga Dayang Hanni Hirwaney Halangan @ Hanni Hirwaney yang akhirnya mendapat rumah sendiri selepas lama tinggal di rumah sewa.