Szczesny masih diperlukan

Szczesny masih diperlukan

LONDON, 31 Julai (AFP) – Penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny masih mempunyai masa depan di Arsenal sekalipun dipinjamkan ke kelab Serie A, AS Roma kelmarin, menurut pengurus Gunners, Arsene Wenger.

Pemain kebangsaan Poland berusia 25 tahun itu, yang akan beraksi dengan kelab Itali itu selama semusim, kelihatan akan diketepikan bagi kempen musim baru selepas Arsenal mengikat penjaga gol Republik Czech, Petr Cech dari Chelsea.

Gunners turut mempunyai penjaga gol Colombia, David Ospina, yang mengambil alih tempat Szczesny sebagai penjaga gol utama dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu.

“Saya percaya dia masih ada masa depan di Arsenal. Saya melabelnya antara yang terbaik. Saya menyerapnya dalam pasukan utama pada usia 20 tahun dan dia sudah memiliki pengalaman luas,” ujar Wenger.

“Roma kelab besar, mereka beraksi pada Liga Juara-Juara, bermain dalam kejuaraan yang amat berbeza dan ia satu pengalaman berharga buatnya.”

Szczesny dipinjamkan oleh Arsenal ke kelab AS Roma untuk musim depan. – Reuters
Szczesny dipinjamkan oleh Arsenal ke kelab AS Roma untuk musim depan. – Reuters

Szczesny, yang hanya beraksi 17 kali dalam Liga Perdana musim lalu namun memperagakan aksi ketika menang final Piala FA 4-0 ke atas Aston Villa, mengakui dia tidak begitu gembira dan bersedia menggunakan peluangnya di Roma.

“Saya mengalami saat sukar tahun lalu, saya orang pertama mengakuinya,” jelas Szczesny, yang bermain 180 kali bersama Arsenal sejak menyertai pasukan remaja pada 2006 dari Legia Warsaw.

“Musim saya tidak begitu bagus tapi saya bersyukur kerana ia memberi saya peluang menyertai Roma musim ini.

“Jika saya bekerja keras dan dengan bantuan jurulatih, saya boleh membantu peningkatan pasukan berbanding musim lalu dan harapnya mencabar kejuaraan.”

Szczesny terpaksa dipinjamkan ke kelab Serie A itu selepas Cech menyertai kelab London itu menerusi yuran pemindahan sebanyak 11 juta pound.

Penjaga gol yang banyak berjasa kepada Chelsea itu mengakhiri spekulasi bahawa akan ke Arsenal selepas dia sendiri ingin bersama Arsene Wenger.

Pemindahan Cech dari barat ke utara London itu dipersetujui menerusi kontrak selama tiga tahun dan gaji sebanyak 100,000 pound seminggu.

Perpindahan Cech ke Arsenal juga disifatkan sebagai penantian panjang selepas mula menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain Czech itu.