Szczesny tidak mampu beraksi

Szczesny tidak mampu beraksi

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 16 Jun (AFP) – Poland akan kehilangan khidmat penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny bagi pertemuan penting menentang Jerman dalam aksi Kumpulan C Euro 2016, awal pagi esok.

Szczesny, yang dipinjamkan ke gergasi Itali Roma pada musim lalu, dihimpit kecederaan paha ketika kemenangan 1-0 Poland ke atas Ireland Utara, Ahad lalu dan akan digantikan dengan penjaga gol Swansea Lukasz Fabianski atau Artur Boruc (Bournemouth).

“Memang tiada peluang untuk Szczesny beraksi esok, keputusan itu dibuat doktor pasukan,” kata pengendali Poland, Adam Nawalka sebentar tadi. “Esok saya akan mengumumkan siapa yang akan menggalas tanggungjawab mengawal gawang.”

Kemenangan Poland ke atas Ireland Utara adalah yang pertama di Kejohanan Eropah setakat ini. Bagaimanapun, skuad kendalian Nawalka hanya pernah sekali menewaskan Jerman dalam 20 percubaan sebelum ini iaitu ketika pusingan kelayakan ke Euro 2016.

Dan pemain sayap Borussia Dortmund, Jakub Blaszczykowski percaya kemenangan di Warsaw hanya 18 bulan lalu adalah tonik terbaik menjelang pertembungan menentang juara dunia itu di Paris.