T.L.T hulur tajaan air Suci

T.L.T hulur tajaan air Suci

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Larian Amal Persatuan Alumni Sekolah Menengah Chung Hwa, (Alumni CHMS) 2016, sehingga hari ini, telah mencatatkan penyertaan hampir 1,000 orang tetapi pendaftarannya masih lagi dibuka dan dilanjutkan sehingga 8 September.

Sebagai usaha untuk menyokong acara amal itu, Syarikat T.L.T telah menghulurkan tajaan berupa air minuman jenama Suci bagi setiap peserta yang mendaftar untuk menyertai acara larian berkenaan.

Acara penyampaian tajaan yang diadakan di Pejabat Syarikat T.L.T di Lambak Kanan, kelmarin disempurnakan oleh Rakan Pengurusan Syarikat T.L.T, Jeremy Tan kepada Pengerusi Persatuan Alumni CHMS, Tan Guan Siong.

Menurut Tan Guan Siong, beliau amat menghargai sumbangan tajaan Syarikat T.L.T serta sokongan pihak pengurusan syarikat untuk menjayakan larian amal berkenaan.

Beliau menambah, menerusi tajaan itu, Syarikat T.L.T akan menaja air minuman semua peserta yang mendaftar untuk menyertai mana-mana enam kategori yang dipertandingkan dalam acara amal itu. Manakala Jeremy Tan yang berkata bagi pihak Syarikat T.L.T pula amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk sama-sama menjayakan acara itu serta untuk sama-sama memberikan sumbangan amal kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan.

Jeremy Tan menunjukkan logo baru Suci.
Jeremy Tan menunjukkan logo baru Suci.

Di samping itu, beliau juga menyatakan air minuman jenama Suci sedang melalui penjenamaan semula di mana ia bakal tampil dengan logo Suci yang baru.

Menurut beliau lagi, penjenamaan semula itu merupakan salah satu strategi untuk menerokai pasaran antarabangsa bagi air minuman buatan Brunei itu.

Menurut Jeremy lagi, pada masa ini, air minuman Suci sudah mula menembusi pasaran Jepun dan sudah mempunyai pengedar rasmi di Filipina.

Dalam masa terdekat, ia akan menembusi pasaran negara jiran Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak serta sedang berusaha untuk memasuki pasaran Australia.

Pada majlis itu, Tan Guan Siong turut mengalu-alukan orang ramai yang ingin menyertai acara larian amal berkenaan, boleh mendapatkan borang penyertaan dan mengembalikannya sebelum tarikh tutup kepada Persatuan Alumni CHMS, Gadong, Pejabat Pentadbiran, CHMS Bandar Seri Begawan, Ibu Pejabat Aewon Kiarong, Pejabat Aewon Seria, Pejabat Cityneon Brunei, Beribi, Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong, Pejabat SMARTER Brunei, Kampung Perpindahan Mata-Mata, dan Pejabat Persatuan KACA, Kiulap.

Menurut beliau lagi, sebahagian daripada hasil kutipan larian amal ini akan disumbangkan kepada tiga persatuan bukan kerajaan iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Pusat Persatuan KACA, Persatuan SMARTER Brunei serta Dana Pendidikan CHMS dan Sekolah Chung Hwa.

Larian Amal CHMS 2016 akan diadakan pada 25 September di mana ia akan bermula dan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA