Taati pemimpin Ullul Amri

Taati pemimpin Ullul Amri

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Kesyukuran terhadap kedaulatan dan kemakmuran negara, rakyat dan penduduk yang sentiasa dalam nikmat dan rahmat Allah S.W.T menjadikan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dan sejahtera di bawah pemerintahan, pemedulian dan keprihatinan raja yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan keharmonian negara.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menitikberatkan kesyukuran terhadap kedaulatan dan kemakmuran di bawah raja yang sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan hukum-hukum Allah dalam pentadbiran dan undang-undang.

Oleh yang demikian, umat Islam di negara ini diseru tidak melupakan nikmat-nikmat yang dikecap negara dalam keamanan dan terus menjaga dan memeliharanya agar terhindar daripada azab dan bencana, menurut Khatib lagi.

Untuk menikmati keamanan ini juga, negara memerlukan seorang ketua dan pemerintah atau kerajaan bagi memimpin rakyat menuju keamanan dan kesejahteraan. Negara Brunei Darussalam amat beruntung kerana mempunyai seorang raja yang adil lagi bijaksana yang berusaha membangun dan memajukan negara seiring dengan negara-negara lain di dunia sama ada dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Menurut khatib lagi, sebagai rakyat, kita mestilah mentaati raja atau Ullul Amri ini, sentiasa memberi sokongan dan dukungan padu bagi mewujudkan sebuah negara yang maju dan berjaya supaya kita selamat dunia dan akhirat.

Mentaati pemimpin juga diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W selagi pemimpin itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam, dan jika bertentangan dengan Islam, maka rakyat tidak perlu mentaati pemimpin tersebut, kata khatib.

Untuk itu, sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khatib menyeru rakyat sama-sama mendoakan agar Baginda Sultan terus dilanjutkan usia, memimpin rakyat dan sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA