Tabah dan sabar hadapi fitnah dunia

Tabah dan sabar hadapi fitnah dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Dalam dunia akhir-akhir ini, sangat ramai dan rancak orang memfitnah Islam dan tidak terhenti ke atas agama ini sahaja malah juga kepada penganutnya lebih-lebih lagi kepada kepala dan pemimpinnya.

”Ini satu trend dan bukan baru berlaku pada hari ini, tetapi sudah lama. Kita lihat sejarah Nabi kita, lantaran Baginda sebagai penghulu, ketua dan pemimpin tertinggi kita, tukang-tukang fitnah fokus kepada Baginda”.

Baginda menjadi sasaran, dicerca, dituduh dengan bermacam-macam tuduhan seperti dituduh sebagai tukang sihir malah dituduh gila.

Masa itu, belum ada internet dan media cetak, tegas Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Jika ada, katanya, mungkin dilukis orang bagaimana Nabi sebagai tukang sihir atau bagaimana keadaan atau keolahan orang gila. ”Pada masa Nabi sudah tiadapun, orang masih sahaja melukis karakternya kononnya Nabi itu sekian-sekian.

Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Kampung Kapok, Muara pagi kelmarin.
Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Kampung Kapok, Muara pagi kelmarin.

”Betapa kesatnya akhlak tukang-tukang fitnah itu, mereka terus tuju ketua, Nabi kita. Nabi yang maksum, yang tidak berdosa, yang benar dan bersih, semata-mata, yang tidak ada loophole (lubang) langsung untuk dikritik pun masih saja difitnah dengan macam-macam fitnah oleh orang-orang yang tidak mahu dan tidak selesa dengan Islam”.

Yang Berhormat Pehin berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Kampung Kapok, Muara hari ini.

Dalam kuliahnya itu, Yang Berhormat Pehin turut mengingatkan supaya tidak hairan jika perkara seperti ini masih belaku di zaman ini.

”Semakin hebat ketua atau semakin ketua itu orang soleh, maka semakin gatal hati orang untuk memburuk dan memfitnahnya dan seperti saja ini sudah menjadi semacam ketentuan bagi menguji hamba-hamba yang berpangkat istimewa itu”.

Menurut urutan, kata Yang Berhormat Pehin, mereka yang paling berat dan paling teruk menerima ujian, di atas sekali ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh daripada kalangan orang-orang beriman seperti para ulama, raja-raja dan seterusnya.

Semakin tebal sifat soleh seseorang maka semakin berat lagi ujian ke atasnya kerana Allah mahu melihat sejauh mana kesabaran dan ketabahannya menerima ujian itu.

Jika ia tabah dan sabar, tetap tidak gelabah atau hilang punca, katanya Allah akan angkat dia lagi, akan tinggikan lagi pangkatnya di sisiNya.

Tetapi jika dia tidak sabar, dan sebaliknya gelabah atau hilang punca, maka, katanya, itulah perangkap untuk penyesalan kerana bukankah orang yang tidak sabar itu boleh saja melakukan macam-macam kesilapan seperti marah, dan marah yang berapi-api biasanya disusuli dengan tindakan-tindakan yang tidak keruan seperti memukul dan menzalimi orang dan lain-lain yang boleh menempah dosa.

Menurut Yang Berhormat Pehin, begitulah kita diajar untuk menghadapi kerenah-kerenah tukang fitnah itu, jangan gelabah dan hilang punca tetapi sabar, dan inilah juga yang diajar oleh Allah kepada Nabi.

Baginda, menurut beliau, lebih teruk lagi difitnah, dikata macam-macam oleh golongan yang tidak beriman, namun Allah mengingatkan nabiNya itu supaya bertenang dan sabar sambil membanyakkan zikir kepadaNya melalui ibadah sembahyang.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, tujuan orang memfitnah Nabi, memfitnah umat Islam dan Islam sendiri tidak lain cuma satu iaitu supaya Islam tidak menyerlah, tidak segar dan subur, biar ia layu dan malap, tidak nampak indah atau kalau boleh biar ia padam saja dari permukaan bumi ini.

“Allah sendiri yang memberitahu itu, bahawa tukang-tukang fitnah adalah semata-semata bertujuan untuk memadamkan cahaya Allah (agamaNya) dengan mulut-mulut mereka. Demikian permakluman daripada Allah, firmanNya dalam surah at-Taubah ayat 32 (tafsirnya): ’Mereka itu mahu untuk memadamkan cahaya Allah (AgamaNya: Agama Islam) dengan mulut-mulut mereka…’,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, cara dan makna memadam cahaya Allah yakni agama Islam dengan mulut-mulut mereka itu ialah dengan menabur fitnah, dengan berkata perkara-perkara palsu yang tidak benar tentang Islam, seperti yang lumrah kita dengar sampai ke hari ini: Orang berkata Islam dikembangkan dengan pedang, Islam memusuhi bukan Islam, Islam agama sempit, tertutup dan tidak toleran, malah kejam dan bengis.

Ini semua dituang ke atas Islam supaya Islam dibenci dan dimusuhi, kelihatan hodoh, tidak diminati dalam makna supaya cahaya agama ini akan padam sama sekali dari permukaan bumi.

Tetapi, tegas Yang Berhormat Pehin, Allah menghiburkan kita orang-orang Islam supaya tidak payah risau.

”Bagaimanapun rancaknya percubaan untuk memadamkan Islam itu, namun Allah tetap akan menggagalkan usaha tersebut. Mereka tidak akan berjaya, sebaliknya Allah pula akan menyempurnakan cahayaNya itu tanpa menghiraukan orang-orang yang tidak menyukainya”.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengingatkan supaya mengikut nasihat Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam, sabdanya: “Engkau peliharalah Allah, nescaya Dia pun akan memelihara engkau.”

Makna memelihara Allah, jelas beliau, ialah memelihara agamaNya dengan mengamalkannya, mematuhi dan mengikut semua ajarannya. Orang yang dipelihara oleh Allah, pasti akan bertemu jalan selamat kerana jika Dia sudah memelihara, siapakah lagi yang mampu menggugatNya?

Dalam pada itu, katanya adalah tidak salah, malah Islam adalah menyuruh, kalau kita juga berusaha sebagai ikhtiar, memperlengkapkan diri dengan perlindungan, dengan kubu-kubu pertahanan untuk melindungi diri daripada segala kejahatan khasnya berkubu dari syaitan.

ARTIKEL YANG SAMA