Tabarez: Perlu tingkat momentum

Tabarez: Perlu tingkat momentum

LA SERENA, 22 Jun (Reuters) – Uruguay perlu memberi lebih perhatian kepada persembahan di padang jika berhasrat mengekalkan mahkota Copa America, kata jurulatih Oscar Tabarez.

Juara bertahan itu melangkah ke kelompok lapan terakhir selaku pasukan di tangga ketiga Kumpulan B apabila seri 1-1 dengan Paraguay dan perlu menunggu siapakah lawan yang akan mereka tentang selepas tamat perlawanan Kumpulan C hari ini.

“Perlawanan itu berlangsung sukar. Ia seperti yang kami jangka. Ia berlangsung berdasarkan karektor pasukan kami,” kata Tabarez. “Terdapat terlalu banyak perebutan sedangkan ia sepatutnya tidak berlaku.

“Pada babak kedua, kami lebih banyak mencipta peluang tetapi kelekaan membawa padah buat kami. Kami tidak menyempurnakan peluang diperolehi dalam kotak penalti Paraguay.”

Oscar Tabarez bercakap kepada Maximiliano Pereira semasa sesi latihan di Pusat Sukan Los Llanos di La Serena 19 Jun lalu. – Reuters
Oscar Tabarez bercakap kepada Maximiliano Pereira semasa sesi latihan di Pusat Sukan Los Llanos di La Serena 19 Jun lalu. – Reuters

Tabarez menambah, hanya semangat pasukan membantu mereka mencatat keputusan lebih baik sejak beliau mengambil alih pasukan, sembilan tahun lalu. Ini adalah kali keenam daripada tujuh kejohanan yang menyaksikan Uruguay melangkah ke kelompok lapan terakhir Copa America sebagai salah satu pasukan di tangga ketiga kumpulan.

Paraguay yang tidak tewas sepanjang tiga perlawanan dan mengetuai kumpulan sebelum pertemuan Argentina-Jamaica, semakin meningkat sejak dibimbing jurulatih baru, Ramon Diaz.

“(Uruguay) bermain cemerlang dan lebih baik berbanding kami tetapi pemain kami berjaya bangkit mengikat kedudukan,” kata Diaz.