Tabika Kemas diperkasa setanding tadika swasta

Tabika Kemas diperkasa setanding tadika swasta

SIPITANG, 19 Sept – Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan diperkasa agar setanding dengan sistem pendidikan awal kanak-kanak di Tadika swasta, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan program pendidikan awal kanak-kanak di Tabika Kemas menjadi pilihan utama ibu bapa untuk anak-anak mereka mendapat pendidikan awal.

“Banyak perkara yang kita telah dan akan lakukan ke arah memperkasakan program pendidikan awal kanak-kanak Tabika Kemas. Setakat ini 50 peratus tenaga pengajar Tabika Kemas mempunyai diploma bagi memastikan sistem pendidikan yang disampaikan berkualiti dan setanding dengan Tadika swasta.

“Kita juga akan menaik taraf semua Tabika Kemas yang sudah uzur di seluruh negara bagi memastikan ia selesa dan dapat menarik minat ibu bapa khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar untuk menghantar akan mereka ke Tabika berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Kemas 4U Peringkat Sabah, di sini Isnin.

Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat persembahan seruling bambu oleh suku kaum Lundayeh ketika tiba merasmikan Program Kemas 4U peringkat Sabah di Kampung Ulu Sipitang hari ini. - Bernama
Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat persembahan seruling bambu oleh suku kaum Lundayeh ketika tiba merasmikan Program Kemas 4U peringkat Sabah di Kampung Ulu Sipitang hari ini. – Bernama

Turut hadir di majlis itu Anggota Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sidumin, Datuk Ahmad Bujang.

Ismail Sabri berkata pihaknya mahu mengubah presepsi ibu bapa yang manganggap sistem pendidikan di Tadika swasta adalah lebih baik berbanding di Tabika Kemas.

“Kita lihat ibu bapa khususnya di kawasan bandar lebih memilih untuk menghantar anak mereka ke Tadika swasta walaupun bayaran yang agak mahal berbanding Tabika Kemas kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa sistem pendidikan di Tadika swasta lebih berkualiti. – Bernama