Tabloid Jerman cetak keluaran khas untuk pelarian Arab

Tabloid Jerman cetak keluaran khas untuk pelarian Arab

BERLIN, 9 Sept – Akhbar Jerman, Bild dan BZ telah mengeluarkan naskhah tambahan hari ini yang berbentuk garis panduan dalam Bahasa Arab bagi pelarian di ibu negara, dengan tajuk beritanya ‘Selamat Datang ke Berlin’.

Garis panduan empat muka surat itu termasuk peta arah daerah penting yang membawa terjemahan Bahasa Arab, dengan lokasi-lokasi bagi perlindungan pelarian dan perkhidmatan migrasi penting yang lain.

Tambahan khas yang disiarkan dalam rantau besar Berlin itu juga termasuk sebuah kamus asas frasa Jerman, tunjuk arah dan kata ucapan harian dan hari-hari dalam seminggu.

BZ memberitahu para pembaca, dengan pemberian edisi khas ini adalah ‘sebagai hadiah kepada pelarian selepas membacanya’.

Media Jerman telah menggunakan pengaruhnya untuk menyokong keputusan kerajaan bagi menerima sejumlah besar pelarian yang lari daripada perang dan penindasan dalam negara-negara termasuk Syria dan Iraq.

Bild, akhbar harian terlaris di Jerman, beberapa minggu kebelakangan telah menjalankan kempen yang digelar ‘Kami membantu’.

Akhbar berpengaruh lain termasuk Frankfurter Allgemeine Zeitung dan Sueddeutsche Zeitung juga mengekhaskan beberapa kolum dan laman hadapan kepada artikel-artikel yang menyokong perjuangan bantuan pelarian di Jerman.

Ekonomi terbesar Eropah itu dijangka akan mengalu-alukan 800,000 pencari perlindungan tahun ini, empat kali ganda daripada setahun yang lalu dan lebih banyak daripada mana-mana negara Eropah lain. – AFP