Tabuan A juara remaja NFABD

Tabuan A juara remaja NFABD

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Jaringan Hafizul Razi bin Jomari pada tiga minit sebelum tamat perlawanan menjadi pembakar semangat pasukannya untuk menambah satu lagi jaringan di minit-minit akhir perlawanan apabila Tabuan A menang 2-0 ke atas Projek Ikan Pusu (PIP) sekali gus muncul juara Piala Elit Remaja Bawah 16 Tahun Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) 2016 yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, hari ini.

Jaringan kedua Tabuan A muncul pada minit ke-59 melalui Mohd Hadif Aiman bin Haji Adanan setelah berjaya mengawal hantaran bola lambung ke tengah padang sebelum mengelecek ke bahagian pertahanan dan meledak bola ke arah bertentangan penjaga gawang PIP.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Jurulatih Tabuan A, Takao Fujiyura ketika ditemui menjelaskan bahawa pasukannya sedar akan kekuatan PIP di tengah pertahanannya dan pasukannya banyak membuat serangan dari sisi bagi membolehkan bola dihantar ke dalam kawasan bahaya lawan.

Mohd Hadif Aiman ketika menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Piala Remaja Elit NFABD 2016 setelah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan termasuk satu gol semasa aksi final.
Mohd Hadif Aiman ketika menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Piala Remaja Elit NFABD 2016 setelah menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan termasuk satu gol semasa aksi final.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Juara Piala Remaja Elit Bawah 16 Tahun NFABD 2016, Tabuan A.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Juara Piala Remaja Elit Bawah 16 Tahun NFABD 2016, Tabuan A.

“Latihan para pemain membuahkan hasil dan saya suka melihat pemain pada peringkat usia ini kerana mereka mempamerkan kemahuan dan keinginan dalam perlawanan,” ujarnya kepada Media.

Menurutnya, beliau tidak suka sikap mudah berpuas hati apatah lagi dalam mendapatkan jaringan bonus dan terus mencuba sehingga ke wisel penamat dibunyikan oleh pengadil.

Mengulas lagi mengenai kejayaan pasukan Tabuan A, beliau yakin akan kemampuan semua pemain dan menegaskan ia masih boleh diperbaiki dan dibangunkan.

“Semua pemain menunjukkan tahap disiplin yang memuaskan dan mereka wajar meraih kejayaan ini,” tegasnya lagi di akhir temu bual sejurus selepas penyampaian hadiah.

Pada acara itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut menyampaikan hadiah bagi kejohanan antara daerah “Center Of Excellence” NFABD 2016 yang dimenangi oleh pasukan Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA