Tabuan ‘A’ kekal dahului liga

Tabuan ‘A’ kekal dahului liga

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Tabuan ‘A’ terus selesa di puncak Liga Remaja B16 (Bawah 16 Tahun) NFABD selepas mudah menundukkan Kilanas FC Junior dengan jaringan 6-0.

Perlawanan pertama pusingan kedua bagi kedua-dua pasukan yang berlangsung di padang bolasepak NFABD berkenaan menyaksikan Mohd Fadhilillah menjaringkan dua gol iaitu gol pertama Tabuan ‘A’ pada minit ke-8 dan kemudiannya gol ketiga pasukannya pada minit ke-44.

Mohd Nurshafif, Mohd Asyraf Bahri, Mohd Badri Hakimin dan Mohd Syazareel pula masing-masing menyumbangkan satu gol iaitu masing-masing pada minit ke-20, 59, 61 dan 61.

Kemenangan kesembilannya dari sepuluh perlawanan itu membolehkan Tabuan ‘A’ selesa di persada dengan 28 mata, tujuh mata di depan pesaing terdekatnya, Projek Ikan Pusu (PIP), yang turut mencatat kemenangan, 3-1 ke atas PERDA FC pada Minggu Kesepuluh liga berkenaan.

Pada aksi sebelah petang di padang bolasepak NFABD itu, PIP selesa mendahului 3-0 menerusi jaringan Helmi Hairi, Mohd Firdaus dan Abdul Hakeem masing-masing pada minit ke-20, 28 dan 38. Jaringan tunggal PERDA FC pula muncul pada minit ke-48 hasil sumbangan Mohd Sahrul Nizam.

Salah satu aksi perlawanan Tabuan A (putih) dengan Kilanas FC Junior yang dimenangi Tabuan A dengan jaringan 6-0.
Salah satu aksi perlawanan Tabuan A (putih) dengan Kilanas FC Junior yang dimenangi Tabuan A dengan jaringan 6-0.

Tabuan ‘B’ yang sekadar seri 1-1 dengan Al-Idrus Junior kekal di tangga ketiga dengan 18 mata.Dalam perlawanan awal pagi di padang bolasepak NFABD itu Al-Idrus Junior mendahului 1-0 menerusi jaringan Umar Abdul Aziz pada minit ke-4, tetapi jaringan sendiri Mohd Dzulafiq pada minit ke-60 menghadiahkan gol penyamaan Tabuan ‘B’.

Sementara Rimba Star FC yang menang 2-1 ke atas BTC Red Star naik satu anak tangga ke tempat keempat dengan 17 mata, memintas Al-Idrus Junior yang mengumpul 16 mata, jatuh ke tangga kelima.

Perlawanan di Padang ‘A’, Kompleks Sukan Menglait itu menyaksikan BTC Redstar awal mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Ikhwan pada minit pertama, namun segera dibalas Lee Lok Phin pada minit ke-8 dan kemudiannya gol kemenangan oleh Mohd Iqhmal pada minit ke-47.

Kasuka FC kekal di kedudukan keenam dengan 15 mata selepas menang besar 5-2 ke atas BESA FC. Aksi di Padang ‘B’, Kompleks Sukan Menglait itu menyaksikan BESA FC mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Mohd Haziq Abdullah, sebelum disamakan oleh Mohd Sherzaman pada minit ke-9.

Kasuka FC selesa mendahului 5-1 selepas Izz Abdul Salam meledakkan dua jaringan iaitu pada minit ke-20 dan 43, sementara Mohd Amirul Haikal dan Awangku Md Hazmi masing-masing satu jaringan iaitu pada minit ke-24 dan 31. Manakala empat pasukan yang tewas iaitu PERDA FC, BTC Redstar, BESA FC dan Kilanas FC Junior kekal menghuni empat tangga terbawah masing-masing dengan 8, 6, 5 dan 2 mata.