Tabuan B-14 menang bergaya

Tabuan B-14 menang bergaya

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Tabuan B-14 mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas MSN United B-15 dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 pagi tadi.

Dalam perlawanan di Padang Turf NFABD itu, Tabuan B-14 mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd Haziq pada minit kesembilan.

Tabuan B-14 hanya berjaya menambah jaringan pada babak kedua iaitu pada minit ke-50 yang disumbangkan oleh ketua pasukan, Mohd Syami Fadhillah untuk merubah kedudukan kepada 2-0.

Tiga minit sebelum tamat, Tabuan B-14 terus ke depan dengan jaringan Mohd Haziq Hafizan Hardi, yang menjadi gol terakhir perlawanan sekali gus memuktamadkan keputusan 3-0.

Pada perlawanan di sebelah petang, pertembungan dua pasukan Kumpulan B iaitu AKSE Bersatu B-15 lawan Academy Kilanas B15 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Academy Kilanas B-15 menang 2-1.

Mohd Haziq (dua kiri) membawa bola di luar petak penalti MSN United B-15 (merah).
Mohd Haziq (dua kiri) membawa bola di luar petak penalti MSN United B-15 (merah).

Jaringan AKSE Bersatu B-15 hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-10 yang disempurnakan oleh Mohd Rahmani bin Rajimi dan kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Academy Kilanas B-15 mendapatkan jurang pada babak kedua iaitu pada minit ke-35 sumbangan Mohd Salleh @ Abdul Salam bin Emzah dan kemudiannya menerusi jaringan Abdul Qayyum Musyarrat bin Abdul Kahar pada minit ke-50.

Perlawanan terakhir Kumpulan B di Padang & Balapan, KSNHB, hari ini menyaksikan BM Skim JBS (Brunei & Muara) menang tipis 1-0 ke atas JIS B-15, dengan jaringan Mohd Fathurraman bin Mohd Jair pada minit ke-14.

Dengan ini, Tabuan B-14 kini mendahului Kumpulan B dengan 3 mata (3 gol tanpa bolos), disusuli Academy Kilanas B-15 dengan 3 mata (2 gol 1 bolos) di tempat kedua, dan BM Skim JBS (Brunei & Muara) di tempat ketiga dengan 3 mata (1 gol tanpa bolos).

Sementara JIS B-15, AKSE Bersatu B-15 dan MSN United B-15 masing-masing menghuni tiga tangga terbawah tanpa pungutan mata.

ARTIKEL YANG SAMA