Tabuan B-16 belasah Pandan FA 10-1

Tabuan B-16 belasah Pandan FA 10-1

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Tabuan B-16 membuat janji temu dengan Kelab Liga Perdana DST 2015, Rimba Star di Pusingan Kedua Piala FA DST 2015 nanti setelah berjaya membelasah Pandan FA dengan jaringan 10-1.

Perlawanan pada awalnya nampak seimbang dengan kedudukan 2-1 pada minit ke-21 selepas Mohd Aizzuddin bin Haji Tuah berjaya menjaringkan gol tunggal Pandan FA pada minit ke-21.

Dua gol awal Tabuan B-16 dijaringkan oleh Mohd Azri bin Haji Aspar seawal minit ke-7 untuk Tabuan B-16 mendahului 1-0 disusuli dengan jaringan rakan sepasukannya, Abdul Hariz bin Herman pada minit ke-17.

Tabuan B-16 berjaya menambah tiga lagi gol pada separuh masa pertama hasil sumbangan Mohd Hanif Aiman bin Haji Adanan pada minit ke-29 dan ke-33, diikuti dengan jaringan kedua peribadi Mohd Azri pada minit ke-42 untuk kedudukan 5-1.

Tabuan B-16 menunjukkan potensi memberangsangkan dalam Piala FA DST 2015 apabila membelasah Pandan FA dengan jaringan 10-1.
Tabuan B-16 menunjukkan potensi memberangsangkan dalam Piala FA DST 2015 apabila membelasah Pandan FA dengan jaringan 10-1.

Separuh masa kedua menyaksikan Tabuan B-16 meneruskan asakannya ke gawang Pandan FA sehingga berjaya menembusi gawang lawan sebanyak lima kali lagi bermula dengan jaringan Abdul Rahaman bin Haji Rasit pada minit ke-53 menerusi sepakan penalti.

Mohd Wafi Aminuddin menjadikan kedudukan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu 7-1 pada minit ke-73, disusuli jaringan Nur Asyraffahmi bin Norsamri pada minit ke-82 untuk gol kelapan pasukannya.

Perlawanan masa sebenar berakhir pada kedudukan 8-1 tetapi Tabuan B-16 masih sempat menambah dua gol lagi menerusi hatrik Mohd Azri pada minit ke-90 yang menyempurnakan sepakan penalti.

Kemudiannya disusuli jaringan hatrik Mohd Hanif Aiman pada minit ke-90+1 untuk memuktamadkan perlawanan dengan jaringan 10-1.

ARTIKEL YANG SAMA