Tabuan B-16 mara pusingan ketiga

Tabuan B-16 mara pusingan ketiga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Giliran Tabuan B-16 pula melangkah ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015 selaku Kelab Non-Liga ketiga yang berjaya melakukannya selepas mengejutkan Kelab Liga Perdana DST 2015, Rimba Star kelmarin dengan jaringan 2-1.

Perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu pada awalnya dilihat memihak Rimba Star FC yang berjaya mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-20 selepas mendapat sepakan penalti dan berjaya disempurnakan oleh Mohd Khalil bin Haji Ahmad Kamil.

Tabuan B-16 berjaya bangkit menyamakan kedudukan, 1-1, dua minit sebelum masa sebenar separuh masa pertama perlawanan berakhir yang dihasilkan oleh Mohd Hanif Aiman bin Haji Adanan.

Perlawanan terus berlangsung seimbang pada separuh masa kedua tetapi hanya Tabuan B-16 yang berjaya memanfaatkan satu daripada peluangnya untuk menerajui perlawanan 2-1 pada minit ke-59 menerusi jaringan kedua peribadi Mohd Hanif Aiman.

Baki 31 minit perlawanan menyaksikan tiada lagi jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan untuk para pemain remaja bawah 16 tahun itu berpesta meraikan kejayaan mara ke pusingan ketiga kejohanan bagi bertemu dengan salah satu daripada sepuluh pasukan Kelab Liga Super DST 2015, tertakluk undian yang akan diadakan nanti.

Di sebalik usia masih muda, Tabuan B-16 mampu memberi kejutan dalam Piala FA DST 2015 menewaskan Rimba Star 2-1.
Di sebalik usia masih muda, Tabuan B-16 mampu memberi kejutan dalam Piala FA DST 2015 menewaskan Rimba Star 2-1.

Dua Kelab Non-Liga yang sudah layak lebih awal ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015 ialah Hawa FT yang mengejutkan Panchor Murai FC dengan jaringan 7-2 pada 6 Oktober lalu dan DSP United yang menewaskan BESA FC dengan jaringan 5-1 pada 21 Oktober lalu.

Manakala dua slot pusingan ketiga piala sudah diisi dua Kelab Liga Perdana DST 2015 iaitu Setia Perdana yang mengalahkan Pandan IV dengan jaringan 3-0 pada 7 Oktober lalu, dan Menglait FC yang membelasah Mengellela FT 5-0 pada 21 Oktober lalu.

Kejohanan akan diteruskan pada Selasa, 27 Oktober ini dengan dua perlawanan yang melibatkan empat Kelab Liga Perdana DST 2015 iaitu Tunas FC lawan Kota Ranger FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Perkasa lawan BSRC FT di Kompleks Sukan Tutong, kedua-duanya bermula pukul 8:15 malam.