Tabuan B-19 galas misi negara

Tabuan B-19 galas misi negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) Brunei Darussalam kini di Myanmar bagi menyertai Sesi Kelayakan Kejohanan Belia B-19 AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Bahrain 2016 yang akan berlangsung pada 28 September hingga 6 Oktober 2015 ini.

Tabuan B-19 akan bersaing dalam Kumpulan G bersama-sama dengan Myanmar, Vietnam, Hong Kong dan Timor Leste. Kesemua perlawanan Kumpulan G berkenaan akan mengambil tempat di Pusat Latihan Belia, Yangon, Myanmar.

Sehubungan itu, Skuad Tabuan Muda B-19 seramai 22 orang pemain beserta enam orang pegawai yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Budin berkenaan telah berlepas ke Myanmar kelmarin.

Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas dan berjaya kepada rombongan berkenaan ialah EXCO NFABD, Muhammad Radzuan bin Haji Madali.

Perlawanan pertama pasukan bimbingan Ketua Jurulatih B-19 Brunei Darussalam, Kwon Oh Son itu adalah menentang Timor Leste pada 28 September bermula pukul 8:00 malam waktu Brunei Darussalam, disusuli dengan Myanmar pada 30 September pada waktu yang sama.

Skuad Tabuan B-19 bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Myanmar bagi menyertai sesi Kelayakan Kejohanan B-19 AFC Bahrain 2016.
Skuad Tabuan B-19 bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Myanmar bagi menyertai sesi Kelayakan Kejohanan B-19 AFC Bahrain 2016.

Vietnam menjadi lawan ketiga Brunei Darussalam pada 2 Oktober nanti bermula pukul 5:00 petang waktu Brunei Darussalam. Lawan terakhir skuad B-19 negara adalah Hong Kong yang akan berlangsung pada 6 Oktober nanti, juga bermula pukul 5:00 petang waktu Brunei Darussalam.

Sejumlah 43 buah anggota AFC termasuk negara tuan rumah, Bahrain akan bersaing dalam sesi kelayakan yang dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Barat yang mengandungi 25 pasukan dan Zon Timur yang mengandungi 18 pasukan.

Hanya sepuluh juara kumpulan dan lima naib juara kumpulan terbaik akan layak menyertai Kejohanan B-19 AFC Bahrain 2016 nanti, dengan Bahrain menerima kelayakan automatik selaku tuan rumah untuk mencukupkan jumlah 16 pasukan kesemuanya.

ARTIKEL YANG SAMA