Tabuan benam Panchor 5-1

Tabuan benam Panchor 5-1

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Enam gol dijaringkan pada separuh masa pertama dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2016 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah petang ini yang menyaksikan Tabuan U-17 menang 5-1 ke atas Panchor Murai FC.

Amirul Hakim Amir Mahmood membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-10 menerusi sepakan penalti untuk membawa Tabuan U-17 mendahului 1-0, namun berselang tiga minit kemudian kedudukan terikat 1-1 selepas Mohd Syahrul Muhibbuddin Muhammad meledak jaringan penyamaan Panchor Murai FC.

Tabuan U-17 kembali di depan pada minit ke-17 apabila Abdul Rahman Haji Rasit menjaringkan gol peribadi pertamanya bagi merubah kedudukan menjadi 2-1. Tujuh minit kemudian kedudukan menjadi 3-1, kini giliran penyerang pantas Tabuan U-17, Mohd Hanif Aiman Haji Adanan pula merobek pertahanan Panchor Murai FC menggunakan kepantasannya.

Pada minit ke-33, Panchor Murai FC dikejutkan dengan ledakan gol keempat Tabuan U-17 oleh Mohd Nazhan Zulkifle dan keadaan menjadi parah buat Panchor Murai FC apabila pemain pertahanannya, Haji Mohd Nurfadzillah Haji Md Yussof menjatuhkan Mohd Nazif Safwan Jaini dalam petak di penghujung babak pertama.

Muhd Hanif Aiman (tengah) ketika berjaya melepaskan dirinya daripada kawalan dua pemain Panchor Murai FC.
Muhd Hanif Aiman (tengah) ketika berjaya melepaskan dirinya daripada kawalan dua pemain Panchor Murai FC.

Abdul Rahman tampil mengambil sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan dan dengan tenang merembat bola ke sebelah kanan gawang yang hanya mampu dilihat Sulaiman Haji Abdul Rahman di gawang Panchor Murai FC.

Ternyata jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan kerana aksi separuh masa kedua tidak menyaksikan sebarang gol berjaya dijaringkan kedua-dua pasukan sekaligus memuktamadkan perlawanan yang dibuka dan ditutup dengan sepakan penalti itu berkesudahan 5-1 memihat Tabuan U-17.

Ia menjadi kemenangan pertama Tabuan U-17 selepas tewas perlawanan pertamanya, 2-3 kepada Menglait FC minggu lalu, manakala buat Panchor Murai FC pula ia menjadi catatan kekalahan kedua berturut-turutnya setelah kalah perlawanan pertamanya, 0-3 kepada Setia Perdana pada minggu pertama liga berkenaan.

Dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana petang ini, Rimba Star berjaya mengikat Setia Perdana 1-1 di Kompleks Sukan Berakas. Rimba Star mendahului 1-0 pada minit ke-3 hasil jaringan Awangku Md Nur Syafiq Pengiran Besar. Gol penyamaan Setia Perdana pula hadir lewat, pada minit ke-87 menerusi sepakan penalti Aimmil Rahman Ramlee.

ARTIKEL YANG SAMA