Tabuan didenda $500, tidak penuhi syarat

Tabuan didenda $500, tidak penuhi syarat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Pasukan Tabuan Muda dikenakan hukuman denda sebanyak $500 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

Hukuman tersebut dikenakan berikutan pasukan tersebut gagal memenuhi peraturan dan undang-undang pertandingan dalam perlawanan lalu antara Indera SC pada 22 November 2015 di Padang & Belapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi perlawanan Liga Super DST 2015 iaitu tidak mencukupi pemain sebelum perlawanan.

Perkara tersebut juga telah dibincangkan pada 8 April 2016 jam 9 pagi di NFABD House, setelah penelitian laporan perlawanan dan surat daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Setiausaha Jawatankuasa Tatatertib, Pengurus Pasukan Tabuan Muda, Ketua Jurulatih Tabuan Muda dan Pengarah Pertandingan dengan berpandukan Disciplinary Code of NFABD dan Code of Conduct NFABD dan menurut Artikel 57 (Chapter II of the Disciplinary Code).

Pasukan Tabuan Muda diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda tersebut dari tarikh yang dimaklumkan, dan jika gagal membuat pembayaran, Pasukan Tabuan Muda tidak akan diberi kebenaran untuk bertanding dalam perlawanan seterusnya di dalam ‘Perlawanan Liga Super DST 2016’ sehinggalah bayaran dibuat.

ARTIKEL YANG SAMA