‘Tabuan Diraja’ sasar pingat gangsa Sukan SEA

‘Tabuan Diraja’ sasar pingat gangsa Sukan SEA

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Pingat gangsa adalah sasaran realistik buat Negara Brunei Darussalam dalam acara sukan bola jaring Sukan Asia Tenggara (SEA) 2015 di Singapura.

Menurut Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam, Thilaka Jinadasa sasaran itu beliau rumuskan selepas kejayaan jelajah sembilan hari di Sri Lanka pada 15-24 Mei baru-baru ini, mengadakan empat siri perlawanan pendedahan dengan empat pasukan tempatan ternama di sana.

Sasarannya tersebut telah beliau kongsikan dengan media tempatan hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sejurus sebelum Skuad Bola Jaring Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berlepas ke Singapura hari ini.

Skuad negara terdiri daripada 12 orang pemain dan tiga orang pegawai termasuk pengurus pasukan, Sabariah binti Haji Kamel Jumat, ketua jurulatih,Thilaka Jinadasa dan seorang pegawai perubatan (medik).

Hadir mengucapkan selamat jalan kepada skuad 15 orang itu ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Mariam binti Ulat dan Pemangku Ketua Pegawai Belia dan Sukan, KKBS, Awang Kifli bin Haji Jaafar. Dalam temubual itu, Thilaka Jinadasa mengkhabarkan pasukan negara telah memenangi tiga daripada empat perlawanan di Sri Lanka itu iaitu ke atas pasukan juara bola jaring antara tentera di Sri Lanka, Sekolah Sukan Sri Lanka dan pasukan gabungan gelanggang permainan di sana.

Skuad Bola Jaring Sukan SEA 2015 bergambar ramai sebelum berlepas ke Singapura bersama Dayang Mariam (10 kiri).
Skuad Bola Jaring Sukan SEA 2015 bergambar ramai sebelum berlepas ke Singapura bersama Dayang Mariam (10 kiri).

Brunei hanya tewas 49-55 kepada juara Kejohanan Bola Jaring Asia tahun lalu, Merchantile, kongsinya lanjut.

Menurut Thilaka Jinadasa, jika semua 12 pemain dapat mengekalkan prestasi, motivasi dan semangat mereka semasa perlawanan pendedahan di Sri Lanka itu, maka peluang pasukan negara untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa adalah sangat cerah.

Beliau berkata mereka telah diberikan peluang untuk berlatih di tempat perlawanan sejam setiap sehari selain peluang mengadakan aksi persahabatan terakhir sebelum beraksi dalam Sukan SEA menentang pasukan bawah 21 tahun Singapura, esok.

Perlawanan pertama ‘Tabuan Diraja’ adalah menentang Singapura pada 31 Mei, disusuli menentang Myanmar, bertemu Thailand pada 2 Jun, bermain dengan Malaysia pada 3 Jun dan berentap dengan Filipina pada 4 Jun.