Tabuan ‘Kejutkan’ Gajah Putih

Tabuan ‘Kejutkan’ Gajah Putih

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Gajah Putih mulai merasakan sengatan Tabuan apabila para penyokong tuan rumah yang membanjiri Arena Futsal Bangkok dikejutkan dengan kejayaan pasukan pelawat menembusi kubu pertahanan tuan rumah yang nampak kalis gol sebanyak dua kali pada separuh masa kedua.

Tewas 2-12 kepada pasukan di kedudukan ke-18 dunia itu merupakan catatan terbaik Brunei Darussalam dalam sejarah penyertaannya di Kejohanan Futsal AFF dan lebih istimewa lagi dengan ledakan dua gol masing-masing oleh ketua pasukan, Maziri bin Maidin pada minit ke-25 dan Mohammad Nor Azizam bin Roslan pada minit ke-38, yang diramal mustahil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Juara bertahan itu membuktikan kredibilitinya sebagai pasukan pilihan apabila sudah jauh meninggalkan skuad didikan Azmanuddin bin Haji Gilen itu pada separuh masa pertama dengan jaringan 7-0.

Ketua Pasukan Thailand, Kritsada Wongkaeo membuka tirai jaringan pasukannya seawal minit pertama, disusuli dengan jaringan-jaringan oleh Konghla Lekka pada minit ke-5, Jetsada Chudech pada minit ke-8, ke-15 dan ke-16, Ampol Srirageaw pada minit ke-10 dan Suphawut Thueanklang pada minit ke-14.

Maziri (kiri) ketika cuba menghadang sepakan Jirawat sambil Faizul Jefry (kanan) memerhati. Kelihatan Arena Futsal Bangkok dibanjiri para penyokong Thailand.
Maziri (kiri) ketika cuba menghadang sepakan Jirawat sambil Faizul Jefry (kanan) memerhati. Kelihatan Arena Futsal Bangkok dibanjiri para penyokong Thailand.

Brunei Darussalam mula bermain lebih baik pada separuh masa kedua walaupun Skuad Gajah Putih berjaya menambah jaringan menerusi Suphawut pada minit ke-24, Mohammad Nor Azizam memecah kebuntuan skuad Tabuan dengan golnya pada minit ke-25 untuk merubah kedudukan menjadi 1-8.

Jirawat Sornwichian menjadikan kedudukan 9-1 pada minit ke-29, disusuli dengan jaringan hatrik Suphawut pada minit ke-35. Thailand sekali lagi terkejut pada minit ke-38 apabila tanpa mereka duga Brunei Darussalam berjaya membolosi mereka buat kali kedua menerusi Maziri.

Perlawanan dilihat akan berakhir dengan kedudukan 10-2 namun Thailand yang nampak tergugat dengan dua bolos itu nampak bersungguh-sungguh mencari gol tambahan sehingga berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-39, disumbangkan oleh Jetsada untuk gol keempat peribadinya dan Sorasak Phoonjungreed untuk keputusan muktamad 12-2.