Tabuan menyerlah, tewas tipis 6-5

Tabuan menyerlah, tewas tipis 6-5

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Tabuan Futsal bermain cantik petang ini ketika menentang Timor Leste terutama pada 12 minit terakhir perlawanan sehingga berjaya menyamakan kedudukan 5-5 dari ketinggalan 1-5, hanya untuk dikejutkan dengan jaringan terakhir dan kemenangan Timor Leste di penghujung perlawanan.

Pada aksi kedua pasukan negara dalam kempen Kejohanan Futsal AFF 2015 di Arena Futsal Bangkok, Thailand berkenaan, anak didik Azmanuddin Haji Gilen yang terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan Mohammad Nor Azizam bin Roslan pada minit ke-2.

Tetapi Timor Leste yang berada dua kedudukan di atas Brunei Darussalam dalam ranking FIFA segera membalas dengan dua gol pada minit ke-12 sumbangan Lourenco Guterres dan minit ke-15 oleh Manuel Sa Sarmento untuk mereka pula menerajui perlawanan dengan jaringan 2-1 yang kekal sehingga rehat.

Manuel Sa Sarmento meledakkan gol kedua peribadinya untuk gol keempat Timor Leste pada minit ke-24 dan seminit kemudian kedudukan menjadi 4-1 apabila giliran Jose Lopes pula mencatat namanya dalam senarai penjaring untuk jaringan 5-1.

Kemudian berlakunya kebangkitan Brunei Darussalam dengan catatan empat gol dalam tempoh sembilan minit, dengan dua jaringan disumbangkan oleh Mohammad Faiz bin Hasnan pada minit ke-28 dan ke-34, dan dua jaringan oleh Faizul Jefry bin Awang Haji Zaini pada minit ke-30 dan ke-36 untuk mengikat kedudukan 5-5.

Namun Jose Lopes menghampakan skuad negara untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata apabila menjaringkan gol kedua peribadinya di minit ke-37 untuk memberikan Timor Leste kemenangan 6-5 dan tiga mata penuh.