Tabuan Muda kembali bangkit

Tabuan Muda kembali bangkit

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Tabuan Muda merampas kembali kedudukan keempat Liga Super DST 2015 daripada Wijaya FC, 26 jam sebelum pesaing rapatnya itu bermain malam ini menentang MS PDB walau sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Lun Bawang.

Terikat dengan pasukan di tangga kesembilan pada perlawanan kelmarin petang itu mengangkat Tabuan Muda satu mata di atas Wijaya FC iaitu 21 mata dari 12 permainan berbanding 20 mata dari 11 permainan yang dicatat Wijaya FC.

Wijaya FC boleh mendapatkan semula tempat keempat berkenaan jika sekurang-kurangnya seri dengan MS PDB malam ini untuknya turut mengumpul 21 mata tetapi memiliki kelebihan 28 jaringan, 19 bolos dan +9 perbezaan gol berbanding Tabuan Muda dengan 23 jaringan, 14 bolos dan +9 perbezaan gol.

Kemenangan buat Wijaya FC pula bukan saja membolehkannya menggugurkan Tabuan Muda ke tangga kelima tetapi turut mendekatkannya hanya satu mata di belakang tempat ketiga, Najip i-Team yang sudah bermain 12 kali.

Tabuan Muda (kuning) dan Lun Bawang (biru) terikat 2-2 dalam saingan Liga Super DST 2015 kelmarin.
Tabuan Muda (kuning) dan Lun Bawang (biru) terikat 2-2 dalam saingan Liga Super DST 2015 kelmarin.

Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dikemudi Lun Bawang seawal minit ke-10 menerusi jaringan Christoper Anak Ambun dan dengan tanpa adanya jaringan terhasil lagi, separuh masa pertama berakhir 1-0.

Masuk ke separuh masa kedua Tabuan Muda ternyata lebih agresif mengawal kawasan tengah dan melakukan serangan-serangan pantas dari kedua-dua sayapnya sehingga akhirnya berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-61 menerusi rembatan Abdul Khair bin Haji Masri dari jarak dekat.

Sebelas minit kemudian arus berubah hala apabila Mohd Amin bin Sisa meledakkan jaringan buat Tabuan Muda mendahului 2-1.

Hanya lima minit selepas ketinggalan, Lun Bawang berjaya mengimbangi semula perlawanan dengan jaringan keduanya yang turut disumbangkan oleh Christoper. Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan.