Tabuan Muda menang 3-2, rampas tiga mata

Tabuan Muda menang 3-2, rampas tiga mata

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Tabuan Muda berjaya merampas tiga mata dari pesaing terdekatnya, Wijaya FC, apabila menang pertarungan sengit itu dengan kedudukan 3-2 sekali gus membuka semula peluangnya untuk sekurang-kurangnya meraih tempat keempat musim ini.

Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menyaksikan penjaring utama Tabuan Muda, Mohd Nur Syazwan bin Halidi membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Mohd Nadzri bin Haji Irwan kemudiannya menambah pendahuluan Tabuan Muda kepada dua gol menerusi jaringannya pada minit ke-31.

Namun Jamrin bin Haji Johari sempat mencantas pendahuluan itu kepada hanya satu gol dengan jaringannya hanya tiga minit sebelum rehat.

Membawa pendahuluan 2-1 ke separuh masa kedua, Tabuan Muda tetap bermain untuk mendapatkan gol tambahan ke arah memastikan tiga mata menjadi miliknya.

Mohd Nadzri (kanan), Mohd Shafie (kiri) dan Mohd Nur Syazwan (Jersi 9) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-2 Tabuan Muda ke atas Wijaya FC.
Mohd Nadzri (kanan), Mohd Shafie (kiri) dan Mohd Nur Syazwan (Jersi 9) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-2 Tabuan Muda ke atas Wijaya FC.

Dan ternyata usaha itu berhasil pada minit ke-73 yang disumbangkan oleh ketua pasukan, Mohd Shafie bin Mohd Effendy.

Sebagaimana jaringannya pada babak pertama, Johari sekali lagi meledakkan jaringan tiga minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat untuk merubah kedudukan menjadi 3-2 sekali gus memberikan tekanan kepada Tabuan Muda yang nampak sudah selesa mendahului 3-1.

Tabuan Muda bertahan cemerlang untuk meraih tiga mata sukar bagi mengumpul 24 mata dari 15 permainan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga kelima dan menyamakan kedudukan matanya dengan Wijaya FC di tempat keempat yang baru bermain 14 kali. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA