Tabuan Pulang Penuh Wibawa

Tabuan Pulang Penuh Wibawa

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Skuad Futsal Kebangsaan Brunei Darussalam selamat kembali ke tanah air dari menyertai Kejohanan Futsal AFF 2015 dengan membawa pulang satu kemenangan, sesuatu yang tidak pernah dikecap selepas kemenangan kali terakhir tujuh tahun yang lalu iaitu 6-1 ke atas Laos pada 2008.

Sejarah itu dicatat pada 10 Oktober lalu di Arena Futsal Bangkok apabila Tabuan Futsal bangkit dari ketinggalan 0-1 sebelum menang 2-1 ke atas Singapura, pasukan yang menewaskan pasukan negara 3-0 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 2001 dalam kejohanan yang sama.

Ia merupakan pencapaian yang patut dibanggakan walaupun pasukan negara gagal melangkah ke peringkat separuh akhir, tahap yang pernah dicapai skuad kebangsaan pada edisi 2005 dan 2008 kejohanan, ketika mana Brunei Darussalam meraih tempat keempat yang merupakan pencapaian kedudukan terbaiknya setakat ini.

Menyambut ketibaan skuad negara yang dibarisi 14 orang pemain dan lima orang pegawai itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei lewat petang kelmarin ialah Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhammad Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani. Dalam kejohanan tahunan peringkat serantau anjuran AFF berkenaan, Brunei Darussalam (tangga ke-92 dunia) yang berada dalam Kumpulan A tewas 1-9 kepada Malaysia (ranking ke-64 dunia), kalah 5-6 kepada Timor Leste (kedudukan ke-90 dunia) dan dikalahkan Thailand (ranking ke-18 dunia) dengan jaringan 12-2.

Lima orang pegawai dan 14 orang pemain yang baru kembali dari menyertai Kejohanan Futsal AFF 2015 di Bangkok, Thailand bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Lima orang pegawai dan 14 orang pemain yang baru kembali dari menyertai Kejohanan Futsal AFF 2015 di Bangkok, Thailand bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Haji Muhammad Zamri (tiga dari kanan) ketika menyambut ketibaan skuad Tabuan Futsal. Kelihatan Azmanuddin (kanan) dan Pengiran Mohd Amirrizal  (dua dari kanan).
Haji Muhammad Zamri (tiga dari kanan) ketika menyambut ketibaan skuad Tabuan Futsal. Kelihatan Azmanuddin (kanan) dan Pengiran Mohd Amirrizal (dua dari kanan).

Ketua Jurulatih, Azmanuddin bin Haji Gilen dalam temu bual bersama Media Permata telah mengongsikan rumusan beliau berkaitan dengan pencapaian skuad anak didiknya bermula dengan perlawanan pertama menentang Malaysia.

Menurutnya, pemain merasa gugup kerana ia merupakan perlawanan pertama mereka di peringkat antarabangsa. Beliau menambah kata bahawa sebelum kejohanan itu, pasukannya tiada pendedahan di luar negara.

Azmanuddin seterusnya berkata, “Kemudian pemain mula berkeyakinan ketika menentang Timor Leste, tetapi kealpaan pada tiga minit terakhir telah menghukum kita dengan kekalahan 5-6.”

“Belajar daripada kesilapan itu, pemain mula bangkit dengan semangat juang yang tinggi ketika menentang Singapura sehingga kita dapat menewaskan Singapura dengan jaringan tipis 2-1,” tambahnya.

Menyentuh pertemuan dengan Thailand yang merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan buat Brunei Darussalam, Azmanuddin menyatakan bahawa dari segi ranking dunia Thailand yang berkedudukan ke-18 dunia, semua sudah tahu bahawa Brunei Darussalam terlalu jauh ketinggalan dari Thailand.

“Apatah lagi Thailand menjuarai setiap Kejohanan Futsal AFF yang diadakan dari mula kecuali pada tahun 2010 apabila Thailand tidak menyertainya,” ujarnya lagi.

“Banyak yang perlu kami pelajari dari kejohanan ini. Pasukan Thailand, Malaysia, Australia dan Vietnam memang terlalu jauh meninggalkan kita. Mereka terlalu cepat meningkat dari segi teknik dan taktikal.”

“Insya-Allah, Liga Futsal Brunei (BFL) yang baru diperkenalkan di negara ini banyak membantu pemain tanah air berkembang dan lebih memudahkan jurulatih mengenal pasti pemain berbakat untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan.”

Azmanuddin mengatakan bahawa keadaan akan pasti menjadi lebih positif tahun depan dengan BFL dipecahkan menjadi dua liga iaitu Super dan Perdana, sekali gus menjadikan 20 pasukan bersaing yang bermakna 400 orang pemain akan bermain.

“Saya melihat masa depan yang sangat cerah buat sukan futsal tanah air dengan penganjuran BFL oleh NFABD berkenaan. Tahniah NFABD dan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk membimbing pasukan negara,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Empat lagi pegawai yang menyertai Kejohanan Futsal AFF 2015 ialah Pengiran Muhd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud (Pengurus), Ediruslan bin Haji Samad (Penolong Jurulatih), Zaini bin Haji Abdul Sani (Medik) dan Mohd Khairuddin Sah bin Haji Abdul Halim (Kelengkapan).

Para pemain pula ialah Maziri bin Maidin (Ketua Pasukan), Faizul Jefry bin Awang Haji Zaini (Timbalan Ketua Pasukan), dua orang penjaga gol (Muhammad Arib bin Haji Umar dan Muhammad Nabil bin Haji Maidin), Mohammad Rosdiny bin Haji Bunal, Mohammad Faiz bin Hasnan, Mohd Hazlantul Khairul Zaman bin Osman, Nur Yamin bin Haji Muhammad, Mohammad Nor Azizam bin Roslan, Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang, Abdul Muiz bin Awang Shahrizan, Fakhri bin Haji Bangkul, Ahmad Afif As Ad bin Awang Haji Ali dan Mohammad Arif bin Awang Haji Eisa.

ARTIKEL YANG SAMA