Tabuan selamat pulang, raih pengalaman di Kemboja

Tabuan selamat pulang, raih pengalaman di Kemboja

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam selamat kembali ke tanah air petang ini selepas mendapat peluang keemasan untuk mengikuti perlawanan persahabatan antarabangsa di luar negara.

Skuad Bola Sepak Tabuan telah sempat berlawan dengan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Kemboja dalam aksi persahabatan antarabangsa pertamanya di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja malam tadi.

Anak didik Mike Wong (Ketua Jurulatih Brunei Darussalam) bermula baik apabila mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-12 menerusi rembatan pemain DPMM FC, Abdul Azizi bin Ali Rahman yang sekali gus menyebabkan stadium yang dipenuhi penyokong tuan rumah itu diam sejenak.

Tersentak dengan gol berkenaan, Kemboja berbekalkan tepuk sorak semangat yang membingitkan stadium berjaya menyamakan kedudukan hanya lapan minit selepas dibolosi, dengan jaringan itu disumbangkan oleh Prak Monyudom.

Sesi bergambar ramai skuad Tabuan di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja.
Sesi bergambar ramai skuad Tabuan di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja.

Gol itu meniupkan semangat kebangkitan Kemboja sehingga mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol keduanya yang dihasilkan oleh Va Quentin sepuluh minit kemudian. Kedudukan 2-1 itu dilihat akan menjadi keputusan mutakhir babak pertama namun Prak Monyudom tiba-tiba sempat meledakkan gol kedua peribadinya di saat-saat akhir bagi memberikan Kemboja pendahuluan 3-1 memasuki waktu rehat.

Berjaya membolosi lawan tiga kali pada babak pertama seakan memberikan Kemboja lebih keyakinan untuk terus mendapatkan gol dan tiupan semangat itu jelas terpamer dengan terhasilnya dua gol masing-masing pada minit ke-54 dan ke-62, kedua-duanya dijaringkan oleh Keo Sokpheng untuk Kemboja mendahului 5-1.

Pasukan di kedudukan ke-186 FIFA itu ternyata semakin selesa mendahului lawannya yang hanya berada satu tangga di bawahnya dalam kedudukan FIFA itu tetapi misi mendapatkan gol mereka belum berakhir sehingga masih berjaya menambah satu gol lagi di penghujung perlawanan menerusi jaringan Soeuy Visal untuk keputusan muktamad Kemboja menang 6-1.

Skuad Tabuan yang diketuai oleh Exco NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim sebagai Pengurus Pasukan itu telah selamat tiba di Phnom Penh, Kemboja pada Ahad, 1 November yang lalu.