Tabuan Sengat Singa

Tabuan Sengat Singa

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Mohammad Faiz bin Hasnan meledakkan dua gol hebat untuk memberikan keputusan hebat buat skuad futsal Brunei Darussalam, kemenangan 2-1 ke atas Singapura dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Futsal AFF 2015 lewat petang kelmarin.

Walau bagaimanapun, Singapura yang baru menyertai semula kejohanan serantau itu selepas kali terakhir menyertainya pada edisi 2001 yang mendahului perlawanan dengan jaringan 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Mohamed Farhan bin Mohamed Farook pada minit ke-12.

Ketua Jurulatih, Azmanuddin bin Haji Gilen yang melihat taktik bertahan dan menyerang balasnya di babak pertama tidak membuahkan hasil telah menukar taktiknya kepada memberikan tekanan berterusan kepada pemain lawan di babak kedua.

Ternyata taktik itu membuahkan hasil segera kepada pasukan negara yang dipimpin ketua pasukan, Maziri bin Maidin itu menerusi jaringan hebat Mohammad Faiz pada minit ke-23 perlawanan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Pertembungan dua kapten dalam aksi Kumpulan A lewat petang kelmarin dengan Mohd Nor Azizam (kiri) cuba membantu Maziri yang berjaya merebut bola dari kaki kapten pasukan Singapura.
Pertembungan dua kapten dalam aksi Kumpulan A lewat petang kelmarin dengan Mohd Nor Azizam (kiri) cuba membantu Maziri yang berjaya merebut bola dari kaki kapten pasukan Singapura.

Jika jaringan pertamanya hadir tiga minit selepas rehat, jaringan kedua Mohammad Faiz pula hadir tiga minit sebelum perlawanan tamat, dan ternyata jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-1 dan tiga mata penuh buat skuad Tabuan Futsal.

Kemenangan itu membolehkan Brunei Darussalam naik ke tangga keempat Kumpulan A dengan 3 mata dari tiga permainan, sama mata dengan Malaysia yang baru bermain dua kali termasuk tewas kepada Thailand 1-6 dalam perlawanan kedua Kumpulan A malam tadi di Arena Futsal Bangkok.

Manakala dua gol Mohammad Faiz menjadikan jumlah jaringan peribadinya kepada empat setakat ini, sekali gus penjaring terbanyak pasukan selepas mengharungi tiga perlawanan.

Lawan terakhir pasukan negara pada peringkat kumpulan ini ialah Thailand, yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8:00 malam waktu Brunei pada malam ini (Ahad, 11 Oktober 2015)

ARTIKEL YANG SAMA