Tabuan U-17 menang besar

Tabuan U-17 menang besar

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Tabuan U-17 membelasah IKLS FC 6-0 dalam satu-satunya perlawanan Liga Perdana Brunei-DST 2016 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) petang ini.

Tabuan U-17 sudah selesa mendahului 5-0 pada separuh masa pertama dan hanya berjaya menambah satu lagi jaringan pada separuh masa kedua, itu pun di penghujung perlawanan.

Awangku Mohd Jumatatul Aleshahrezan bin Pengiran Metali membuka tirai jaringan seawal minit ke-4, disusuli dengan jaringan Abdul Mateen bin Said pada minit ke-13 untuk kedudukan 2-0.

Mohd Suhaily Syafiee bin Abdullah Marrani menyumbat dua gol pantas hanya dalam tempoh tiga minit iaitu pada minit ke-17 dan ke-19 untuk segera membawa Tabuan U-17 empat gol di depan.

Abdul Rahman bin Haji Rasit menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-33, yang ternyata menjadi gol terakhir babak pertama perlawanan berat sebelah berkenaan.

Mohd Suhaily Syafiee (kiri) yang menjaringkan dua gol untuk Tabuan U-17 melihat rakannya (Jersi 9) bersaing mendapatkan bola.
Mohd Suhaily Syafiee (kiri) yang menjaringkan dua gol untuk Tabuan U-17 melihat rakannya (Jersi 9) bersaing mendapatkan bola.

Babak kedua menyaksikan IKLS FC bertahan dan mengawal bola dengan lebih baik sehingga berupaya mengekang Tabuan U-17 dari menambah jaringan namun kealpaan di minit-minit akhir perlawanan mengundang padah sehingga menyebabkan Syazwan bin Haji Sahrin mencatat namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-89.

Kemenangan itu membolehkan Tabuan U-17 mengumpul 15 mata dari lapan perlawanan hanya dua mata di belakang BSRC FT di tempat ketiga, tatkala BSRC FT sudah menamatkan kempennya musim ini.

Berbaki satu lagi perlawanan, Tabuan U-17 yang kini di tangga keempat berpeluang untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen musim ini di tempat ketiga jika menang perlawanan terakhirnya nanti untuk mengumpul 18 mata, memintas BSRC FT yang mengumpul 17 mata.

IKLS FC kekal di tempat ketujuh dengan 9 mata dari lapan permainan, masih satu mata di belakang Setia Perdana (tempat keenam) dan Rimba Star FC (tempat kelima), dan tiga mata di depan Panchor Murai FC di tempat kelapan.

Liga Perdana Brunei-DST 2016 kekal diterajui Al-Idrus Junior FT yang kini mengumpul 19 mata dari tujuh perlawanan, diekori rapat Menglait FC di tempat kedua dengan 18 mata dari tujuh permainan. BSRC FT pula di tempat ketiga dengan 17 mata selepas sembilan permainan.

ARTIKEL YANG SAMA