Tabuan U-21 dahului Liga Super DST

Tabuan U-21 dahului Liga Super DST

Oleh Hasrulraizan

 

TEMBURONG, 30 Mac – Tabuan U-21 kini di puncak Liga Super Brunei DST 2016 selepas kejayaannya di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong menewaskan Lun Bawang dengan jaringan 3-1.

Nursyazwan Halidi memacu Tabuan U-21 ke depan pada minit ke-20 sebelum ditambah menjadi 2-0 oleh rakannya, Abdul Afiq Roslan lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Lun Bawang berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-60 menerusi jaringan Amir Bujang tetapi hanya empat minit kemudian Abdul Khair Haji Basri mengembalikan semula keselesaan dua gol di depan Tabuan U-21.

Di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) pula menyaksikan Wijaya FC mencatat kemenangan kedua daripada tiga perlawanannya setakat ini, 2-0 ke atas MS PDB untuknya mendaki ke tangga kedua Liga Super Brunei DST 2016.

Kejayaan itu dicapai hasil kejayaan menjaringkan satu gol pada setiap separuh masa iaitu pada minit ke-10 oleh Awangku Anaqi Sufi Pengiran Omar Baki dan pada minit ke-53 sumbangan Mohd Shah Azahar Abdullah Ahar.

Tabuan U-21 menghuni puncak Liga Super Brunei DST 2016 selepas menang 3-1 ke atas Lun Bawang.
Tabuan U-21 menghuni puncak Liga Super Brunei DST 2016 selepas menang 3-1 ke atas Lun Bawang.

Tatkala perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) antara Indera SC dengan Kasuka FC dihentikan sebelum separuh masa pertama berakhir disebabkan oleh satu insiden panas yang melibatkan layangan kad merah, Tabuan U-21 menerusi kemenangan dalam perlawanan ketiganya itu melonjak ke tangga teratas dengan enam mata.

Wijaya FC yang menang di Temburong turut mengumpul enam mata tetapi memiliki perbezaan jaringan lebih rendah iaitu +3 berbanding Tabuan U-21 (+5) untuknya berpuas hati menduduki tangga kedua, di atas MS ABDB yang baru bermain dua kali.

MS ABDB menghuni tangga ketiga dengan enam mata dan walaupun turut mempunyai perbezaan gol +3, Wijaya FC memiliki kelebihan jaringan iaitu lima gol, berbanding tiga gol yang dimiliki MS ABDB.

Najip I-Team di tempat keempat dengan empat mata dari tiga permainan, disusuli Indera SC, MS PDB, Kota Ranger FC dan Kasuka FC masing-masing di tempat kelima, keenam, ketujuh dan kelapan dengan tiga mata.

Lun Bawang dengan satu mata daripada tiga perlawanan di kedudukan kesembilan, sementara Jerudong FC yang tewas kesemua tiga perlawanannya setakat ini di tangga tercorot.

ARTIKEL YANG SAMA