Tabung bantu mangsa gempa ditubuhkan

Tabung bantu mangsa gempa ditubuhkan

RANAU, 7 Jun (Bernama) – Beberapa pihak mula tampil dan menubuhkan tabung bagi membantu mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi yang melanda Ranau serta daerah lain di Sabah pada Jumaat lepas.

Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah hari ini melancarkan ‘Tabung Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu: Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS)’ khusus bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada malim gunung dan porter yang terjejas.

Menterinya Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata pihaknya akan bertemu dengan pengurusan Taman-Taman Sabah bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai mereka yang terbabit untuk memudahkan pengagihan dana.

“Kami amat prihatin terhadap apa yang mereka alami dan kami akan berusaha membantu menyalurkan bantuan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung itu di Pusat Gerakan Operasi Taman Kinabalu di sini hari ini. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Alliance Bank 101960010086060 atau terus menghubungi MPMS di talian 088-221194.

Tiga belas individu disahkan terkorban setakat ini akibat gempa bumi dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan Gunung Kinabalu ditutup selama tiga minggu mulai semalam kerana laluan pendakian ke puncak gunung terjejas teruk dan berbahaya buat pendaki.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Richar Soibi berkata 250 malim gunung dan 50 ‘porter’ yang berdaftar di bawah persatuan itu menyuarakan kebimbangan berdepan masalah kewangan sebaik mendengar berita penutupan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu semalam.

“Memang punca pendapatan kami agak terjejas, sebab aktiviti pendakian gunung ditutup untuk sementara waktu dan ini adalah punca pendapatan kami.

“Kebiasaannya pendapatan bulanan bagi malim gunung kira-kira RM800 sebulan manakala porter boleh mencecah kira-kira RM600 sebulan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Justeru, katanya, kebanyakan malim gunung kini berusaha mencari pekerjaan sementara.