Tabung dana masjid akan dilancar dalam masa terdekat

Tabung dana masjid akan dilancar dalam masa terdekat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Sebuah jawatankuasa khas sementara diberi nama Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid telah dibentuk untuk mengendalikan fasa pertama penubuhan tabung berkenaan yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abd Rahman (gambar) berkata, pada fasa berikutnya, satu akta baru iaitu Akta Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam akan digubal, yang bakal menyaksikan penubuhan sebuah Lembaga Pemegang Amanah untuk mengambil alih tugas pengendalian tabung dana berkenaan daripada Jawatankuasa Khas tersebut.

Beliau berkata, di bawah fasa pertama orang ramai bolehlah menyumbang kepada Tabung Dana Pembinaan Masjid ini tanpa dihadkan jumlah minimum dan sumbangan boleh dibuat melalui beberapa cara iaitu secara pemotongan wang melalui Arahan Tetap kepada bank; sumbangan secara terus ke dalam akaun Tabung Dana; menyerahkan sumbangan kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Penyataan Ikrar; Meletakkan Tabung-Tabung Dana di tempat-tempat tertentu seperti masjid dan bangunan-bangunan tertentu; Perkhidmatan SMS dan Pembelian Kupon.

“Mengikut perancangan, setelah tiga bulan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid ini dilancarkan, maka barulah kaedah kutipan secara pemotongan gaji akan mula dilaksanakan dan pemakluman mengenainya akan dibuat terlebih dahulu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad, kaedah pemotongan gaji adalah secara sukarela dan hanya dibuat untuk kakitangan Kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja dengan jumlah minimum $2.

pg02_150504_a

Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertindak sebagai urus setia tabung dana berkenaan, katanya sambil menambah bahawa hasil kutipan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid akan digunakan bagi membina masjid yang baru, membaik pulih dan menambah bangunan masjid dan keperluannya.

Tambahnya lagi, majlis pelancaran bagi memulakan kutipan bagi Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ini akan diusahakan dalam masa terdekat.

Penubuhan Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid adalah atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang dititahkan pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2015 baru-baru ini untuk memberi peluang kepada orang Islam menabung pahala kerana membina masjid.

Sehubungan itu Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyeru orang ramai khasnya rakyat dan penduduk negara ini untuk sama-sama mengambil peluang dan kesempatan keemasan ini untuk melakukan amal jariah.

ARTIKEL YANG SAMA