Tabung Dana Masjid dilancar

Tabung Dana Masjid dilancar

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan hari ini berkenan melancarkan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Majlis berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas di sini.

Penubuhan tabung dana tersebut adalah atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang dititahkan pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2015, baru-baru ini bertujuan memberi peluang kepada orang Islam menabung pahala kerana membina masjid.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad dalam sembah alu-aluannya berkata, sebuah jawatankuasa khas sementara diberi nama Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid telah dibentuk untuk mengendalikan fasa pertama penubuhan tabung berkenaan.

Beliau berkata, di bawah fasa pertama orang ramai bolehlah menyumbang kepada Tabung Dana Pembinaan Masjid ini secara sukarela, seangkat-angkat hati tanpa dihadkan jumlah minimum dan sumbangan boleh dibuat melalui beberapa cara iaitu secara pemotongan wang melalui Arahan Tetap kepada bank; sumbangan secara terus ke dalam akaun Tabung Dana.

Timbalan Sultan semasa berkenan melancarkan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada umat Islam menabung pahala.
Timbalan Sultan semasa berkenan melancarkan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada umat Islam menabung pahala.

Orang ramai juga boleh menyerahkan sumbangan kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Penyataan Ikrar; meletakkan tabung-tabung dana di tempat-tempat tertentu seperti masjid dan bangunan-bangunan tertentu; perkhidmatan SMS dan pembelian kupon.

Pada fasa berikutnya, satu akta baru iaitu Akta Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam akan digubal, yang akan menyaksikan penubuhan sebuah Lembaga Pemegang Amanah untuk mengambil alih tugas pengendalian tabung dana berkenaan daripada Jawatankuasa Khas tersebut.

“Mengikut perancangan, setelah tiga bulan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid ini dilancarkan, maka barulah kaedah kutipan secara pemotongan gaji akan mula dilaksanakan dan pemakluman mengenainya akan dibuat terlebih dahulu,” katanya.

Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad, kaedah pemotongan gaji adalah secara sukarela dan hanya dibuat untuk kakitangan kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sahaja (GLC) dengan jumlah minimum $2.

Katanya, bagi memudahkan kutipan tabung dana ini, akaun khas telah dibuka iaitu di Tabung Amanah Islam Brunei, dan Bank Islam Brunei Darussalam. Ini setelah mendapat persetujuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan semua hasil kutipan yang diterima akan dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

Dr Haji Japar semasa menyampaikan ceramah khas pada majlis tersebut.
Dr Haji Japar semasa menyampaikan ceramah khas pada majlis tersebut.

pg03_150605_d

Tambah beliau, hasil kutipan tabung dana berkenaan akan digunakan untuk membina masjid yang baru, membaik pulih dan menambah bangunan masjid dan keperluannya, namun ia bukan bertujuan untuk mengambil alih peranan kerajaan dalam perkara membina dan mengurus masjid.

Terdahulu keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama. Majlis pelancaran tabung itu bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Lambak Berakas, Haji Mahruf bin Haji Chuchu yang merupakan Naib Johan Majlis Musabaqah Membaca AL-Quran bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2015.

Manakala kesimpulan makna pula dibacakan oleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar.

Majlis turut diserikan dengan persembahan selawat oleh pegawai-pegawai masjid Negara Brunei Darussalam dan ceramah khas mengenai kelebihan pahala orang yang membina masjid yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan, Dr Haji Japar bin Haji Maidin.

Bagi memberkati majlis, bacaan doa selamat dibacakan oleh, Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Suhaili bin Haji Mohiddin.

ARTIKEL YANG SAMA