Tabung Haji lancar Perkhidmatan Van Bergerak Komuniti

Tabung Haji lancar Perkhidmatan Van Bergerak Komuniti

KOTA KINABALU, 17 Ogos – Tabung Haji (TH) melancarkan Perkhidmatan Van Bergerak Tabung Haji Komuniti di Sabah bagi memberi perkhidmatan lebih baik dan meluas kepada penduduk di negeri ini.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Datuk Johan Abdullah berkata perkhidmatan bergerak berupa sebuah van yang dilengkapi peralatan canggih itu boleh pergi jauh ke pedalaman sekali gus memudahkan pendeposit berurusan dengan TH.

“Kami ada empat buah van masing-masing satu di Sarawak dan Sabah dan dua di Semenanjung Malaysia. Ini penting kerana kami di Tabung Haji sentiasa menyahut seruan kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat, kata Johan.

Johan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan itu di Hotel Tabung Haji di sini malam tadi.

Pelancaran perkhidmatan berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Setiap van berserta kelengkapannya itu menelan belanja kira-kira RM400,000.

Menurut Johan perkhidmatan berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan TH kepada penduduk Sabah termasuk mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman yang sudah tentu turut mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada TH seperti rakan mereka di kawasan bandar.

Perkhidmatan yang disediakan melalui van bergerak itu bersifat menyeluruh antaranya urusan pengeluaran, penambahan deposit dan perkhidmatan lain yang biasa ditawarkan di pejabat cawangan TH.

Selain itu kata Johan, semua transaksi yang dilaksanakan menggunakan perkhidmatan bergerak berkenaan juga adalah pada masa nyata kerana van itu turut dilengkapi kemudahan satelit.

Mengenai kemungkinan jumlah van bergerak seperti itu ditambah bilangannya di Sabah, Johan berkata perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya sambutan terhadap perkhidmatan yang dilancarkan itu menggalakkan.

Menurut Johan, memandangkan pendeposit TH di Sabah yang berjumlah kira-kira 1.2 juta orang tidak semuanya tinggal di kawasan bandar maka perkhidmatan van bergerak itu diharapkan dapat menambah jumlah pendeposit dan pendaftaran haji di negeri ini.

“Kita rasa masih ramai penduduk Sabah dan Sarawak belum menabung dengan TH disebabkan faktor geografi.

“Insya-Allah dengan adanya van komuniti TH ini, jumlah penyimpan akan meningkat. Jumlah pendeposit di Sabah antara yang terkebawah di negara ini,” katanya. – Bernama