Tabung Haji sentiasa cari pelaburan baru

Tabung Haji sentiasa cari pelaburan baru

MAKKAH, 23 Jun (Bernama) – Tabung Haji (TH) sentiasa melihat peluang pelaburan baharu di Arab Saudi bagi menambah pendapatan yang boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos subsidi haji.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Johan Abdullah berkata sektor hartanah adalah antara bidang yang berpotensi untuk diceburi.

“Untuk itu, kita telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat pemaju hartanah Arab Saudi tentang bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan antara dua pihak. Syarikat berkenaan sememangnya tahu Tabung Haji merupakan jenama yang kukuh.

“Kita akan terus mencari peluang pelaburan sebegini bagi menjana pulangan dan pendapatan,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan (Haji) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kanan (Kewangan Korporat dan Perkhidmatan) Rifina Md. Arif.

Mengenai subsidi haji, beliau berkata secara keseluruhannya TH menanggung kos sebanyak RM150 juta tahun ini dan jumlah itu menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tahun lepas.

“Sebahagian besar daripada kos subsidi iaitu kira-kira 40.5 peratus digunakan untuk penginapan,” katanya.

Sementara itu, katanya TH juga telah mengadakan perbincangan dengan Hotel Al-Aqiq di Madinah berhubung penyediaan juadah Malaysia dalam sebuah restoran di premis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA