Tabung Haji umum bonus 8 peratus

Tabung Haji umum bonus 8 peratus

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2015, merangkumi 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus, kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Fardu Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.236 bilion berbanding RM3.237 bilion pada 2014. Jumlah ini akan dimanfaatkan oleh hampir 8.85 juta akaun pendeposit TH yang aktif.

“Keuntungan bersih selepas zakat TH mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada 2014 atau peningkatan sebanyak 19 peratus.

“Ia merupakan pendapatan dan keuntungan tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan TH di sini hari ini.

Mengambil kira pandangan Bank Negara dan prospek ekonomi tahun ini, beliau berkata TH akan menyimpan RM300 juta daripada keuntungan boleh agih tahun ini sebagai rizab, menjadikan jumlah rizab boleh agih TH meningkat kepada RM593 juta.

Berdasarkan prestasi tersebut, Jamil berkata jumlah keuntungan boleh agih dan Rizab boleh agih TH melonjak kepada RM3.82 bilion di samping menghasilkan penambahan nilai sebanyak RM18.31 bilion kepada dana pendeposit dan peningkatan keuntungan lebih lima kali ganda sejak tahun 2006.

Sementara itu pada sidang media, Pengerusi TH Datuk Seri Azeez Abdul Rahim berkata bonus tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit bermula 10 Feb ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA