Tabung kemanusiaan untuk Nepal ditubuhkan

Tabung kemanusiaan untuk Nepal ditubuhkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah memperkenankan bagi penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal bagi membantu mangsa kejadian gempa bumi di Nepal pada 25 April yang lalu.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, semasa mesyuarat penubuhan tabung kemanusiaan berkenaan, di kementeriannya hari ini, berkata daripada maklumat yang diterima lebih 5,000 orang terkorban dan jumlah berkenaan akan meningkat, manakala 10,000 lagi cedera.

Bencana alam semula jadi itu juga telah menyebabkan kerosakan harta benda dan menyebabkan Nepal menghadapi masalah mendapatkan sumber makanan dan minuman, perubatan serta keperluan-keperluan yang lain seperti tempat tinggal dan seumpamanya.

“Mereka memerlukan bantuan bagi menghadapi kesulitan yang mereka hadapi, dan sepertimana yang sedia maklum, kerajaan Baginda Sultan telah pun mengambil tindakan dengan menghantar anggota-anggota dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk memberikan bantuan yang ada di Nepal,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Datin Paduka Hajah Adina hadir semasa Mesyuarat Penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Datin Paduka Hajah Adina hadir semasa Mesyuarat Penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal.

Menurut Yang Berhormat Pehin, seperti lazimnya tabung kemanusiaan ini akan diadakan selama tiga bulan bermula hari ini (30 April) hingga 31 Julai, bagi mengutip sumbangan berupa kewangan daripada pihak-pihak kerajaan, swasta dan orang ramai termasuk juga daripada persatuan-persatuan.

Penubuhannya antara lain bertujuan bagi membolehkan rakyat negara ini menunjukkan rasa simpati dan prihatin ke atas kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Nepal.

Bantuan ini juga, secara langsung dan tidak langsung akan dapat mengeratkan hubungan rapat antara Negara Brunei Darussalam dan Nepal, malah juga terdapat warga Nepal yang bertugas di negara ini.

Jawatankuasa bagi penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, manakala ahli-ahlinya adalah daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Penubuhan jawatankuasa berkenaan ini bertujuan untuk mengumpulkan derma atau sedekah seangkat-angkat hati daripada semua rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa bumi Nepal.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui tabung-tabung derma yang akan ditempatkan di setiap bangunan-bangunan kerajaan, komersial, sekolah-sekolah dan sebagainya, di seluruh negara.

Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS pada waktu pejabat.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri KKBS, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, para pegawai kanan dari beberapa agensi kerajaan, pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA