Tadarus Al-Quran di Masjid Setia Ali

Tadarus Al-Quran di Masjid Setia Ali

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin, meneruskan siri kedua majlis Tadarus al-Quran di Masjid Setia Ali Pekan Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Hakim Syar’ie, Yang Arif /Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Kehakiman Negara, Pusat Kebangsaan e-Kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu dihadiri oleh hakim mahkamah tinggi syariah, ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan penyerahan wakaf sumbangan ikhlas daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Negara, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang disampaikan oleh Yang Arif / Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Salim berupa satu unit alat penghawa dingin, sebuah alat pemancut air dan 10 buah rihal serta wang tunai untuk kegunaan masjid tersebut.

Yang Arif / Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Salim hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Arif / Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Salim hadir selaku tetamu kehormat.
Tetamu kehormat menyampaikan wakaf kepada Imam Masjid Setia Ali Pekan Muara.
Tetamu kehormat menyampaikan wakaf kepada Imam Masjid Setia Ali Pekan Muara.

Majlis tadarus al-Quran itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Arif / Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Salim.

Sejurus kemudian majlis bertadarus dimulakan diikuti kemudiannya dengan bertahlil dan bacaan doa selamat dan berbuka puasa beramai-ramai sebaik saja azan dilaungkan.

Seterusnya, jemaah sembahyang fardu Maghrib berjemaah sebelum menikmati jamuan berbuka puasa.

ARTIKEL YANG SAMA