Tadarus Al-Quran KHEDN labuh tirai

Tadarus Al-Quran KHEDN labuh tirai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Hakim Hayat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai – Tadarus Al-Quran di bulan Ramadan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan di bawahnya bagi tahun 1436H/2015M melabuhkan tirainya hari ini di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong.

Hadir mengetuai rombongan KHEDN di majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Haji Othman yang turut disertai Timbalan Menteri KHEDN, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Mohd Yussof.

Majlis Khatam Al-Quran dan bacaan Takhtim beramai-ramai meneruskan agenda majlis itu sebelum diteruskan pula dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin Imam masjid berkenaan.

Sebelum ditutup, majlis berkenaan menyaksikan Menteri KHEDN menyerahkan sumbangan kepada 50 anak-anak yatim bagi Kampung Jerudong sebelum diteruskan dengan penyerahan wakaf berupa peralatan keperluan masjid yang disempurnakan Timbalan Menteri KHEDN.

Tetamu kehormat majlis (empat dari kiri) ketika majlis tersebut kelmarin.
Tetamu kehormat majlis (empat dari kiri) ketika majlis tersebut kelmarin.

Menurut kenyataan penganjur, majlis bertadarus Al-Quran merupakan salah satu acara keagamaan yang dikendalikan setiap tahun oleh KHEDN untuk mendekatkan lagi hubungan silaturahim antara kementerian dan kepimpinan akar umbi serta penduduk mukim dan kampung di Daerah Brunei dan Muara.

Acara berkenaan turut diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung dan disimpul dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA