Tadarus hari ke-10 Ramadan

Tadarus hari ke-10 Ramadan

Oleh Normazlina M.D, Siti Nur Wasimah S. & Hajah Saemah Zulkefli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Ramadan yang memasuki hari ke-10 hari ini terus digemakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di beberapa masjid dan balai ibadat di seluruh negara daripada pelbagai agensi kerajaan yang juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada balai ibadat atau orang-orang yang memerlukan.

Turut mengadakan majlis seumpamanya ialah rombongan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang meneruskan Majlis Bertadarus sempena bulan Ramadan bagi tahun 1437H/2016 di Masjid Kampung Pintu Malim.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohamed Roselan bin Haji Mohamed Daud, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai serta kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pada majlis yang dikendalikan bersama oleh JPM, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Audit dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tersebut Yang Berhormat Pehin juga telah menyampaikan sumbangan wakaf berupa satu set sistem PA, dua buah kipas, tempat memandikan jenazah dan satu set kerusi bankuet kepada imam masjid, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji A. Zaini.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman mengetuai rombongan bertadarus JPM. – Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman mengetuai rombongan bertadarus JPM. – Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit kebajikan Hospital PMMPMHAMB.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit kebajikan Hospital PMMPMHAMB.

Manakala itu, di Daerah Tutong, rombongan Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Bertadarus dan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak-anak Yatim dan Pesakit Kebajikan Perubatan bagi Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Tutong.

Hadir mengetuai rombongan Kementerian Kesihatan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Majlis telah menyaksikan penyampaian sumbangan kepada sembilan orang anak yatim warga perkhidmatan Hospital PMMPMHAMB, Tutong dan 10 orang pesakit di bawah pengendalian Unit Kebajikan Perubatan, hospital berkenaan.

Majlis bertadarus ini merupakan kesinambungan bagi kunjungan rombongan Kementerian Kesihatan ke daerah-daerah bagi keempat-empat hospital kerajaan di Negara Brunei Darussalam secara bergilir sepanjang bulan Ramadan bagi tahun ini.

Hospital PMMPMHAMB, Tutong merupakan hospital keempat dan terakhir mengadakan majlis tersebut.

Satu lagi rombongan kementerian yang meneruskan majlis bertadarus adalah dari Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menghadiri majlis tadarus Kementerian Pendidikan di Sekolah YSHHB.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menghadiri majlis tadarus Kementerian Pendidikan di Sekolah YSHHB.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus serta para pengarah, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan.

Selain itu, majlis juga telah disertai oleh 70 orang pelajar menengah dan rendah dari Sekolah YSHHB.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian wakaf berupa sebuah almari, sehamparan sejadah panjang, 15 buah rehal dan tiga biji kontena serba guna yang disampaikan oleh Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Norhaizamdin bin Haji Mosbi.

Majlis tadarus ini merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan dan tahun ini ia dikendalikan bersama Jabatan Sekolah-sekolah, Bahagian Pengajian Tinggi dan Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Majlis Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung berserta rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya pula telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait.

Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN menyampaikan sumbangan bagi keperluan masjid.
Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN menyampaikan sumbangan bagi keperluan masjid.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Ali selaku ketua rombongan kementerian tersebut.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, pegawai Daerah Belait, ketua-ketua jabatan di KHEDN, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatannya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah masjid serta masyarakat kampung berdekatan.

Majlis berkenaan juga telah diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa arwah diikuti dengan penyampaian sumbangan derma anak yatim kepada seramai 23 orang anak yatim Kampung Sungai Liang dan penyampaian sumbangan bagi keperluan masjid tersebut yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA