Tadbir urus kewangan tunjang ekonomi stabil dan kukuh

Tadbir urus kewangan tunjang ekonomi stabil dan kukuh

PETALING JAYA, 28 Sept (Bernama) – Tadbir urus kewangan yang padu merupakan tunjang kepada ekonomi yang stabil dan kukuh, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh.

Sukhdave berkata struktur tadbir urus dan cara keputusan dibuat, perlu diberikan keutamaan.

“Tadbir urus mempengaruhi keputusan, dan keputusan menentukan hasil.

“Tidak ada bezanya dalam tadbir urus kewangan, sama ada keputusan kewangan di peringkat antarabangsa atau negara, awam atau swasta, korporat atau institusi kewangan, seisi rumah atau individu, bahawa tadbir urus kewangan yang padu merupakan tunjang atau asas kepada ekonomi yang stabil dan kukuh,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Ekonomi Malaysia 2015, di sini, kelmarin.

Sukhdave berkata tadbir urus kewangan yang lemah akan menjurus kepada kesilapan, dan oleh itu mereka mesti melaksanakan tadbir urus yang baik dan dijadikan keutamaan dalam ekonomi dan politik.

Konvensyen dua hari bertema ‘Pertumbuhan Ekonomi dan Tadbir Urus Kewangan’ yang menghimpunkan kira-kira 100 peserta itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) dan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Sementara itu, Presiden MEA Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim memperakui bahawa tadbir urus kewangan wajar diperkukuh memandangkan ia membabitkan cara keputusan dibuat.