Tahan dua minggu lagi di Unit Kesihatan Mental

Tahan dua minggu lagi di Unit Kesihatan Mental

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150714_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Seorang pesakit mental yang menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang ahli keluarganya dengan menggunakan parang “Kukri” diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, untuk ditahan selama dua minggu lagi di Unit Kesihatan Mental.

Permohonan supaya Haji Mohammad bin Haji Mustapa, 45, ditahan di unit berkenaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiman Adri bin Ahmad Zakaria bagi membolehkan petugas di unit itu membuat rawatan ke atas tertuduh.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula.

Kertas pertuduhan menyebut bahawa kejadian berlaku apabila sekumpulan pegawai dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi menjalankan tugas mereka bersama keluarga tertuduh di tingkat bawah kediaman mereka di Kampung Tagap, Jalan Selayun pada 30 Jun 2015 kira-kira jam 12:40 tengah hari.

Tertuduh kemudian muncul dari tingkat atas dan bersikap agresif apabila menyedari rumahnya menerima kunjungan daripada orang yang tidak dikenali.

Tertuduh kemudian mengambil parang kukri dan telah menyebabkan kecederaan pada salah seorang daripada ahli keluarganya secara tidak sengaja.

ARTIKEL YANG SAMA