Tahanan mati di lokap

Tahanan mati di lokap

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Seorang tahanan lelaki tempatan berumur 32 tahun telah didapati meninggal dunia ketika di dalam tahanan polis di lokap Balai Polis Pusat, di sini.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, pada pukul 2:10 petang kelmarin (28 Sept) polis telah menerima satu laporan berhubung satu kes kematian berkenaan.

Katanya, polis menyiasat kes tersebut sebagai kes mati luar biasa (unnatural death) tetapi siasatan awal polis tidak menunjukkan sebarang unsur-unsur perbuatan jenayah atau khianat.

“Hasil daripada siasatan itu nanti akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk sebarang ketetapan,” katanya sambil menambah bahawa ahli keluarga mangsa telah pun dimaklumkan.

Mangsa ditahan pada 23 September lalu dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini dua hari kemudian (25 September) kerana dipercayai sengaja memulakan kebakaran sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Pancha Delima 2 baru-baru ini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya supaya dia (mangsa) ditahan di Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan memandangkan terdapat kemungkinan dia turut ada kaitan dengan dua lagi kes kebakaran sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA