Tahanan mengaku bunuh tujuh wartawan

Tahanan mengaku bunuh tujuh wartawan

TRIPOLI, 30 April – Kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa semalam berkata lima tahanan mengaku membunuh lima wartawan dari stesen televisyen tempatan selain dua wartawan Tunisia, dalam pembunuhan yang sebelumnya didakwa pertanggungjawabannya oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Mereka dalam tahanan – dua warga Libya dan tiga warga Mesir – “mengakui mereka bertanggungjawab dalam pembunuhan pasukan televisyen Barqa,” kata kerajaan dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Pasukan wartawan dari Barqa TV hilang selama lapan bulan. Pada Januari, kumpulan IS cawangan Libya mendakwa menghukum mati dua wartawan Tunisia — Sofiene Chourabi dan Nadhir Ktari – yang hilang di timur Libya pada September.

Emp[at dari lima mangsa Barqa TV adalah warga Libya, dan yang kelima adalah jurukamera Mesir.

Ketika penyiasatan dijalankan, para tahanan terbabit turu mengaku bertanggungjawab bagi “pembunuhan dua wartawan Tunisia di Libya”, tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun perkhidmatan keselamatan masih belum berupaya mendapatkan mayat kerana dikatakan dikebumikan di pinggir bandar timur Derna, yang berada di bawah kawalan kumpulan jihad termasuk IS, kata kerajaan.

Kenyataan kerajaan tidak menyatakan bila pembunuhan berlaku atau bila suspek diberkas.

Kerajaan Tunisia mengeluarkan kenyataan semalam sambil berkata Perdana Menteri Habib Essid mempengerusikan mesyuarat tergempar sebagai respons kepada berita itu. Perdana Menteri turut menemui ibu bapa dua mangsa Tunisia untuk menyampaikan rasa simpati kerajaan dan ikrar mengambil tindakan sewajarnya. – AFP