Tahanan Palestin tamatkan mogok lapar

Tahanan Palestin tamatkan mogok lapar

RAMALLAH, Tebing Barat, 20 Ogos – Tahanan warga Palestin Mohammed Allan semalam menamatkan mogok lapar selama 65 hari kerana menentang penahanannya tanpa perbicaraan selepas Mahkamah Agung Israel menggantung waran tangkap ke atasnya, menurut peguam beliau.

Allan mengalami kerosakan otak akibat mogok lapar yang dijalaninya dan dimasukkan ke hospital di Israel dalam keadaan kritikal.

Mahkamah berpendapat bahawa keadaan Allan sekarang sudah tidak menjadi ancaman dan oleh itu menggantung waran tangkap ke atasnya.

Kes aktivis jihad berusia 31 tahun itu dipantau dari dekat oleh kedua-dua belah pihak yang bermusuh di kawasan konflik Israel-Palestin, yang kelihatannya bakal mencetuskan kekacauan baru jika Allan meninggal dunia akibat mogok lapar yang dijalaninya.

“Masalah sudah selesai, penahanan tadbir sudah dibatalkan dan oleh itu tiada lagi mogok lapar,” peguam Allan, Jameel Khatib, memberitahu Reuters.

Para pembantah Palestin mengambil bahagian dalam perarakan di bandar Ramallah di tebing Barat sebagai menyatakan sokongan kepada Mohammaed Allan pada 19 Ogos 2015. – AFP
Para pembantah Palestin mengambil bahagian dalam perarakan di bandar Ramallah di tebing Barat sebagai menyatakan sokongan kepada Mohammaed Allan pada 19 Ogos 2015. – AFP

Kerajaan Israel melihat mogok lapar Allan sebagai cabar besar ke atas “penahanan tadbir”, amalan yang banyak menerima kritikan daripada warga Palestin dan kumpulan hak asasi manusia tetapi yang Israel sifatkan amat perlu bagi keselamatan negaranya.

Israel bimbang pembebasan Allan akan hanya menggalakkan kira-kira 370 tahanan Palestin lain yang juga ditahan tanpa perbicaraan akan mengikut jejak menjalani mogok lapar.

Mahkamah berkata Allan akan terus berada di hospital Israel tempat di mana beliau sedang menjalani rawatan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA