Tahap kecergasan Messi belum diumumkan

Tahap kecergasan Messi belum diumumkan

pg22_160607_a

SANTA CLARA (Amerika Syarikat), 6 Jun – Pengendali Argentina, Gerardo Martino belum membuat sebarang keputusan berikutan tahap kecergasan Lionel Messi sama ada dia mampu diturunkan untuk aksi Copa America Centenario menentang Chile.

Messi yang tiba di California, Jumaat lalu selepas memberikan keterangan berhubung tuduhan penipuan cukainya, masih bergelut dengan kecederaan belakang yang dialaminya ketika Argentina mencatat kemenangan 1-0 ke atas Honduras, bulan lalu.

Meskipun dijangka tidak diturunkan menentang Chile esok, Martino menyatakan Messi akan diberi peluang membuktikan tahap kecergasannya pada sesi latihan di San Jose, hari ini.

“Kami perlu menunggu selepas tamat sesi latihan petang ini dan barulah kami dapat menentukan keadaannya.

“Perkara paling utama adalah kami perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu dan meminta kebenaran daripada pasukan perubatan dan juga Messi sendiri sama ada boleh beraksi ataupun tidak.

“Jika dia mengakui betapa dia tidak selesa untuk beraksi, maka saya tidak akan menurunkan dia,” kata Martino.

Martino turut mengesahkan pemain Benfica, Nicolas Gaitan akan menggantikan Messi jika bintang Barcelona itu tidak dapat diturunkan.

“Gaitan memiliki kepantasan, hantaran yang baik dan kemahiran menggelecek yang bagus jadi dia adalah pengganti yang sesuai buat Messi,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA