Tahap keselamatan dipertingkatkan

Tahap keselamatan dipertingkatkan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kementerian-kementerian dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan melihat lebih mendalam bagi usaha meningkatkan lagi struktur dan organisasi keselamatan di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menekankan, inisiatif kerajaan ini akan memastikan dasar, kaedah-kaedah dan peraturan bagi memastikan keselamatan akan lebih diperketat lagi.

Menurut beliau semasa ditemu bual pada majlis sambutan sempena memperingati ‘Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia’ 2016, hari ini, kemalangan-kemalangan yang berlaku tahun lalu juga diambil berat untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan yang harus dipatuhi oleh pihak tertentu.

Walaupun jumlah kemalangan di negara ini semakin menurun tetapi pihak kerajaan akan sentiasa memantau keselamatan di negara ini.

Yang Berhormat Pehin merasmikan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja yang disertai oleh syarikat swasta dan agensi kerajaan yang terlibat.
Yang Berhormat Pehin merasmikan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja yang disertai oleh syarikat swasta dan agensi kerajaan yang terlibat.

p03-2_20160429

Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan, sektor swasta dan kerajaan ditekankan supaya mematuhi peraturan keselamatan dalam usaha untuk menghalang sebarang kemalangan yang tidak diingini, tambah beliau lagi pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Manakala itu, Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa menyampaikan ucapan pula berkata, Negara Brunei Darussalam sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedar akan keperluan untuk bekerjasama dalam inisiatif oleh ILO bagi melindungi kepentingan keselamatan dan persekitaran kerja yang sihat bagi kesemua pekerja.

Mempromosi budaya keselamatan di tempat kerja setentunya salah satu aspek penting yang harus dipelajari dengan kerjasama kesemua pemegang amanah termasuk kerajaan, sektor swasta, majikan dan pekerja serta semua di tempat kerja.

Katanya, ‘Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia’ adalah sebagai kempen kesedaran yang dipantau oleh ILO dengan tujuan untuk menumpukan perhatian antarabangsa mengenai trend baru muncul dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan berkaitan dengan kecederaan, penyakit dan kematian di seluruh dunia.

Beliau berkata, tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Tekanan di Tempat Kerja: Satu Cabaran Kolektif’.

Menurutnya, risiko psikososial seperti peningkatan persaingan, jangkaan lebih tinggi bagi prestasi dan kerja lebih masa menyumbang kepada persekitaran tempat kerja lebih tertekan.

Bahaya Psikososial adalah faktor di tempat kerja yang membawa kepada tekanan dan boleh termasuk interaksi, keadaan dan budaya yang menjejaskan prestasi kerja, kesihatan dan kepuasan kerja.

Walaupun ketika berada di tempat kerja, tekanan adalah perkara biasa, tekanan berlebihan boleh menjejaskan produktiviti dan memberi kesan fizikal serta kesihatan emosi.

“Dan keupayaan anda untuk menanganinya boleh membawa perbezaan antara kejayaan atau kegagalan,” ujarnya sambil menambah, program efektif bagi menangani tekanan tempat kerja termasuk pengenalpastian risiko psikososial, penilaian prestasi kerja dan masalah peribadi akibat tekanan.

Oleh itu, tekan beliau, adalah penting bagi semua sedar akan keperluan untuk mengetahui punca-punca tekanan di tempat kerja dan bagaimana cara menanganinya.

Majlis sambutan berkenaan adalah bagi mendukung ILO bagi memperingati ‘Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia’ yang diadakan pada setiap 28 April. Dengan adanya majlis sedemikian ia dapat meningkatkan lagi kesedaran pekerja-pekerja terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan tempat kerja.

Majlis sambutan telah diisi dengan taklimat khas yang disampaikan oleh Clement Tan dari Syarikat Ken Knowledge International Private Limited, Singapura.

Seterusnya Yang Berhormat Pehin merasmikan pameran keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang melibatkan syarikat swasta dan agensi kerajaan yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA