Tahap keyakinan pemain Tottenham semakin tinggi

Tahap keyakinan pemain Tottenham semakin tinggi

MIDDLESBROUGH, 23 Sept – Kyle Walker menyifatkan tahap keyakinan yang semakin tinggi di White Hart Lane mampu membawa Tottenham Hotspur mencapai gelaran juara Liga Perdana Inggeris dengan rekod tanpa kalah musim ini.

Skuad Mauricio Pochettino yang bakal berkunjung ke Middlesbrough, malam esok berada di tangga ketiga liga dan masih segar dengan kejayaan membelasah Gillingham 5-0 dalam saingan Piala Liga pada pertengahan minggu.

Tottenham bagaimanapun gagal melakar permulaan sempurna musim ini dengan kekalahan di laman sendiri pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara di tangan Monaco disifatkan sebagai aksi paling mengecewakan.

Namun pertahanan kanan England Walker percaya pasukan itu mampu melakar pencapaian di luar jangkaan baik dalam saingan liga mahupun di Eropah.

“Kami memasukinya adalah untuk menang. Kami beraksi dalam semua kejohanan dan kami mahu memenanginya ke semuanya.

“Kami tidak mahu mengatakan ‘kami tidak mahu memenangi perlawanan hari ini kerana kami fokus kepada perlawanan lain’. Dengan kemampuan yang dimiliki dalam pasukan ini, kami mampu untuk melancarkan serangan dalam setiap perlawanan dan bermain dengan cara kami.

“Biarpun ada masanya ia tidak sesuai dengan sesuatu perlawanan namun kami ada cara untuk mengatasinya.

“Diharapkan kami boleh pergi jauh dalam setiap kejohanan. Saya mahu tunjukkan kepada dua anak lelaki saya yang bapanya memenangi pingat untuk Tottenham,” kata Walker.

Pochettino memperkuatkan cabaran skuad bimbingannya dengan membawa masuk Vincent Janssen, Victor Wanyama dan Moussa Sissoko pada perpindahan musim panas yang lalu manakala Danny Rose sudah memperbaharui kontraknya untuk di White Hart Lane.

Jurulatih dari Argentina itu kini berharap dia mempunyai skuad mantap bagi mencabar kejuaraan liga selepas buruan musim lalu terlepas kepada Leicester City dalam saingan minggu terakhir.

Dengan penyerang Harry Kane terpaksa diketepikan kerana kecederaan buku lali, Spurs sudah diuji dengan Janssen diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan pasukan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA