Tahlil di Kubah semarak Ramadan

Tahlil di Kubah semarak Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Rombongan seramai 250 orang warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah menghadiri majlis membaca Surah Yasin dan tahlil di Kubah Makam Diraja, di ibu negara, hari ini.

Majlis tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit ini merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian berkenaan sempena bulan Ramadan.

Rombongan berkenaan telah diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, para pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Yasin, kemudian diikuti dengan tahlil yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Amin bin Haji Salim.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin hadir sama di majlis tahlil kementeriannya di Kubah Makam Diraja.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin hadir sama di majlis tahlil kementeriannya di Kubah Makam Diraja.
Dato Paduka Haji Bahrin bersama warga BIBD ketika majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Dato Paduka Haji Bahrin bersama warga BIBD ketika majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, kelmarin.
Antara warga KHEDN yang hadir di majlis itu.
Antara warga KHEDN yang hadir di majlis itu.

Sementara itu, Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut mengadakan majlis seumpamanya, juga sebagai aktiviti tahunannya, yang dihadiri oleh kakitangan dari BIBD, BIBD At-Tamwil dan BIBD Securities.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan selaku Pengerusi BIBD, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, ahli-ahli lembaga pengarah yang lain, Timbalan Mufti Kerajaan selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Suhaili bin Haji Mohiddin, ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD yang lain, Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad, serta warga pengurusan dan kakitangan BIBD.

Di majlis itu, rombongan BIBD membacakan Surah Yasin, Tahlil dan doa selamat bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, serta kerabat diraja yang lain.

Dalam pada itu, BIBD dalam kenyataannya, menyatakan bahawa sempena bulan Ramadan yang mulia ini, BIBD telah aktif dalam pelbagai aktiviti keagamaan seperti kempen amal tahunan “Sirah Amal” di samping majlis Khatam Al-Quran BIBD yang bakal diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA