Tahniah buat peserta negara

Tahniah buat peserta negara

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Seramai lima peserta dari Negara Brunei Darussalam berjaya memenangi kedudukan 10 teratas Cabaran Labuan Dualthlon 2016 anjuran Majlis Perbadanan Labuan dengan kerjasama Pelancongan Labuan.

Cabaran yang diadakan di Pusat Sukan Air Labuan pada 28 Ogos 2016 itu menyaksikan penyertaan lebih 478 peserta dari Malaysia, Brunei Darussalam, Eropah dan Afrika.

Awang Muhammad Nur Risman bin Ismail menduduki tempat ketiga dalam Kategori Lelaki Terbuka.

Manakala dua lagi peserta Brunei Darussalam, Dayang Marnie Farizah binti Ahmad dan Dayang Nurzahidah binti Haji Jailani masing-masing selesai pada kedudukan keenam dan kelapan.

Sementara itu, dalam Kategori Senior Veteran Lelaki, peserta Negara Brunei Darussalam Awang Hassan bin Haji Kamis menduduki tempat kelima dengan peserta dari Malaysia Muhammad Razani bin Hussein, Leong Bee Van dan Wong Siew Ming masing-masing menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga.

Peserta negara yang berjaya menamatkan cabaran. – Gambar Abdullah Asgar
Peserta negara yang berjaya menamatkan cabaran. – Gambar Abdullah Asgar

Dalam Kategori Relay Berpasangan pasangan Lim Wei Kuang dan Reduan bin Yusop dari Brunei Darussalam berjaya menduduki tempat keempat dengan beberapa peserta lain negara ini hanya mampu menduduki tempat 20 teratas dalam kategori masing-masing.

Hadiah berupa wang tunai dan piala disampaikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir bin Haji Alias.

Acara pelepasan peserta sebelumnya telah disempurnakan oleh Datuk Senator Yunus bin Kurus, Datuk Bashir Haji Alias, Mohd Zamri Mohd Esa, Datuk Othman Che Jusoh dan Mahathir Abd Hamid.

Peserta cabaran ini diwajibkan menamatkan larian lima kilometer, berbasikal 35 kilometer sebelum berlari lagi lima kilometer menuju garisan penamat dengan peserta yang mencatat masa terpantas akan diiktiraf sebagai pemenang.

ARTIKEL YANG SAMA