Tahniah Daerah Brunei dan Muara

Tahniah Daerah Brunei dan Muara

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 26 Sept – Daerah Brunei dan Muara telah muncul juara keseluruhan Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan Serta Pemahamannya bagi Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Seluruh Negara Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Tutong, hari ini.

Seramai 23 orang peserta telah menyertai pertandingan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun berkenaan.

Para peserta terdiri daripada peserta johan pertandingan peringkat daerah iaitu masing-masing seramai empat orang peserta bagi kategori kanak-kanak lelaki, kategori kanak-kanak perempuan, kategori remaja lelaki, kategori remaja perempuan, dan kategori dewasa perempuan, manakala itu, hanya tiga peserta dalam kategori dewasa lelaki.

Johan bagi kategori kanak-kanak lelaki ialah Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Awang Hasbi dari Daerah Brunei dan Muara dan Dayang Nur ‘Amerra Hafeezah binti Shahraimi dari Daerah Tutong bagi kategori kanak-kanak perempuan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyampaikan hadiah kepada wakil dari Daerah Brunei dan Muara selaku juara keseluruhan Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan Serta Pemahaman bagi Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Seluruh Negara Peringkat Akhir Kebangsaan 2016.

ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.
ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Haji Mohd Asri bin Haji Timbang dari Daerah Temburong dan Dayang Noriah binti Tuah dari Daerah Brunei dan Muara pula masing-masing menjuarai kategori remaja lelaki dan perempuan.

Sementara itu, kategori dewasa lelaki dan perempuan pula masing-masing dijuarai oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Abdul Kadiroshman dari Daerah Tutong dan Dayang Nor Hamizah binti Aji dari Daerah Temburong.

Gambar ramai johan bagi setiap kategori Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan Serta Pemahaman Peringkat Akhir Kebangsaan 2016.
Gambar ramai johan bagi setiap kategori Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan Serta Pemahaman Peringkat Akhir Kebangsaan 2016.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pertandingan akhir tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang, petang tadi, ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Manakala pertandingan kategori remaja dan dewasa yang diadakan pada sebelah pagi telah disaksikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat majlis.

Pertandingan ini diadakan untuk mendokong hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir dan menanamkan rasa cinta kepada Al-Quran di samping menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian dan menuju ke arah penghayatan Al-Quran yang sebenar dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung di dalamnya.