Tahniah Masjid Kg Beribi

Tahniah Masjid Kg Beribi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Masjid Kampung Beribi, hari ini, menempa sejarahnya tersendiri apabila berjaya muncul johan Pertandingan Takbir Hari Raya Sempena Aidiladha bagi ahli-ahli Jawatankuasa, Jemaah dan Belia-belia Masjid, Surau dan Balai Ibadat di Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1436H/2015M.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh pasukan dari Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop dan Balai Ibadat Mukim Saba.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Pertandingan akhir yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong, hari ini, turut disertai dua pasukan dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah yang masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

Haji Abdul Rajid menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Haji Abdul Rajid menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Antara objektif pertandingan yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong itu adalah untuk menyebarkan syiar Islam dalam kalangan Umat Islam dan melahirkan ahli jawatankuasa yang pandai membawakan takbir hari raya. Ia juga bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai cara dan alunan laungan takbir dengan betul tanpa melakukan kesilapan dan berusaha membaiki bacaan serta takbir hari raya di samping menambahkan keyakinan para peserta bagi mengikuti kepelbagaian pertandingan pada masa akan datang.

Selain itu, ia juga menjadi wadah mengeratkan silaturahim dan mencungkil bakat baru dalam kalangan para peserta di samping menjadi salah satu cara merealisasikan hasrat penubuhan kumpulan takbir masjid-masjid di seluruh negara bagi keperluan ketika hari kebesaran Islam di negara ini seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

ARTIKEL YANG SAMA