Tahniah untuk China

Tahniah untuk China

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Keqiang serta kerajaan dan rakyat China bersempena dengan Ulang Tahun ke-66 Pengasasan Republik Rakyat China.

Dalam perutusan kepada Presiden Xi Jinping, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai persahabatan yang mesra dan kerjasama yang rapat di antara kedua-dua buah negara, yang mana diperkukuhkan lagi melalui kerjasama serantau dan antarabangsa.

Baginda seterusnya berharap untuk terus meningkatkan lagi hubungan cemerlang yang dibina menerusi berbagai pencapaian dan mencari peluang bagi kerjasama baru di masa hadapan.

Sementara itu, dalam titah perutusan Baginda kepada Tuan Yang Terutama Li Keqiang, Baginda menghargai sumbangan peribadi yang bernilai dan persahabatan yang mesra di antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

Baginda seterusnya menghargai sumbangan peribadi yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama dalam meningkatkan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin dan sebagai rakan kongsi yang rapat di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap untuk terus bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama bagi mengukuhkan kerjasama yang luas dalam berbagai-bagai bidang yang penting dan seterusnya bagi meneroka peluang-peluang baru di masa akan datang.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam sejahtera kepada Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan juga kepada Tuan Yang Terutama Li Keqiang.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan juga berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Wang Yi sempena Ulang Tahun ke-66 Pengasasan Republik Rakyat China.

Dalam sabda perutusan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia gembira dapat berjumpa Tuan Yang Terutama Wang Yi di Kuala Lumpur dan semasa Mesyuarat-mesyuarat ASEAN serta sangat menghargai sumbangan peribadi Tuan Yang Terutama dalam mengukuhkan lagi hubungan sebagai rakan kongsi dua hala dan serantau yang rapat.

Duli Yang Teramat Mulia berharap untuk terus bekerjasama ke arah mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama yang rapat dan sekian lama terjalin di antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA